GRAND BLANC: Sekurang-kurangnya empat orang maut dan lapan lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melancarkan serangan terhadap sebuah gereja Mormon di Michigan pada Ahad.
Penyerang dikenal pasti sebagai Thomas Jacob Sanford, 40, dipercayai merempuh bangunan gereja dengan trak sebelum melepaskan tembakan secara rambang menggunakan senapang separa automatik dan seterusnya membakar bangunan tersebut.
Gereja terbabit musnah hampir sepenuhnya.
Ketua Polis Grand Blanc, William Renye, berkata penyerang ditembak mati oleh polis dalam masa lapan minit selepas panggilan kecemasan pertama diterima.
“Dua mayat ditemui di lokasi, dan dua lagi dijumpai di bawah runtuhan bangunan yang terbakar,” katanya pada sidang media.
Seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal. Ratusan jemaah dipercayai berada dalam gereja ketika serangan berlaku, dan operasi mencari mangsa masih diteruskan.
FBI kini mengetuai siasatan, menyifatkan insiden ini sebagai “serangan disasarkan”. Laporan media AS menyebut Sanford merupakan veteran tentera dan berasal dari kawasan sekitar.
Foto yang tular memaparkan bangunan gereja hangus terbakar, manakala trak milik suspek yang dihiasi dua bendera AS masih terperosok di dinding gereja.
Presiden Donald Trump mengutuk kejadian itu sebagai “serangan kejam terhadap umat Kristian”, dan menyifatkannya sebagai bukti jelas bahawa negara kini sedang menghadapi “wabak keganasan”.










