Trump guna gambar autopen ganti potret Biden di Rumah Putih

Gambar autopen ganti potret Biden

IMEJ autopen digunakan bagi menggantikan potret Joe Biden di Rumah Putih. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menambah koleksi gambar terbaharu di laluan Presidential Walk of Fame di bahagian luar Rumah Putih yang memaparkan potret semua bekas presiden kecuali seorang.

Bagi menggantikan potret rasmi Joe Biden, Trump memilih gambar sebuah mesin autopen yang menandatangani nama Biden, sebagai sindiran terhadap dakwaan lama beliau mengenai Biden tidak benar-benar membuat keputusan sendiri pada hujung tempoh pemerintahannya.

Langkah itu menjadi cubaan terbaharu Trump untuk merendahkan legitimasi pendahulunya, selepas sebelum ini enggan mengakui kekalahannya dalam pilihan raya 2020 dan terus menuduh tanpa bukti bahawa wujud penipuan undi.

Trump sebelum ini pernah menyatakan Biden hanya akan ‘diwakili’ oleh autopen pada laluan tersebut, sambil turut menuduh tanpa bukti bahawa pegawai pentadbiran Biden kerap memalsukan tandatangan presiden dengan menggunakan peranti itu.

Walaupun beberapa presiden terdahulu turut menggunakan autopen untuk menandatangani dokumen penting, Trump turut mempersoalkan kesahihan pengampunan dan dokumen lain yang ditandatangani Biden melalui cara itu.

Sebuah jawatankuasa Dewan Perwakilan yang diketuai Republikan kini sedang menyiasat penggunaan autopen oleh pentadbiran Biden.

Kakitangan Rumah Putih memuat naik beberapa hantaran media sosial pada Rabu untuk mempromosikan projek baharu itu, yang dijangka akan dipertontonkan buat kali pertama kepada media ketika Trump mengadakan jamuan di taman Ros baharu bersebelahan West Wing, tempat potret-potret tersebut dipamerkan.

Penambahan galeri itu melengkapkan beberapa perubahan reka bentuk yang dilaksanakan Trump sejak kembali ke Rumah Putih, termasuk hiasan dinding berlapis emas di Pejabat Oval, pemasangan tiang bendera besar di kedua-dua halaman, penukaran rumput taman Ros kepada batu patio dan pembinaan sebuah dewan besar baharu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×