Finland hapus lambang swastika pada bendera tentera udara - Utusan Malaysia

Finland hapus lambang swastika pada bendera tentera udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HELSINKI: Finland mengakui bendera tentera udara mereka tidak seharusnya terus memaparkan lambang swastika yang besar di tengah-tengahnya, dan kini bersedia untuk menghapuskan simbol itu sepenuhnya.

Menurut laporan Telegraph, langkah itu diambil selepas kehadiran simbol yang sinonim dengan parti Nazi Jerman berkenaan mencetuskan situasi janggal bersama pelawat asing.

Swastika mula digunakan sebagai lambang rasmi Tentera Udara Finland sejak penubuhannya pada 1918, iaitu lebih awal sebelum Parti Nazi Jerman memilih simbol itu sebagai identiti mereka pada 1930-an.

Walaupun penggunaan meluasnya dihentikan pada 2020, lima tahun kemudian lambang berkenaan masih terdapat pada beberapa unit tentera udara.

Kini, ia akan diharamkan sepenuhnya di semua bendera unit, selaras dengan undang-undang beberapa negara Eropah seperti Jerman, Austria dan Republik Czech yang mengharamkan simbol itu.

“Kami boleh sahaja meneruskan penggunaan bendera ini, tetapi kadang-kadang timbul keadaan janggal dengan pelawat asing. Lebih baik hidup mengikut peredaran masa,” kata Kolonel Tomi Böhm kepada penyiar awam YLE.

Böhm, yang mengetuai unit sayap udara Karelia, menegaskan tiada tekanan politik dalam keputusan itu, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada usaha menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Beliau turut berharap proses perubahan itu dapat disempurnakan sepanjang tempoh jawatannya.

Bendera baharu akan memaparkan lambang helang emas sedang terbang di atas bulatan biru, dikelilingi sayap berwarna putih.

Cadangan mengubah bendera unit itu dibangkitkan pada 2023, tahun Finland menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Namun, penggunaan berterusan swastika oleh sebahagian unit mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Kerajaan Finland dalam kenyataannya menyifatkan simbol itu sebagai memalukan dalam konteks antarabangsa dan menegaskan keperluan untuk mengemas kini simbol serta identiti Tentera Udara agar lebih mencerminkan imej semasa negara tersebut.

Perdebatan mengenai penggunaan swastika kembali mencuri perhatian selepas penerbitan buku History of the Swastika oleh Profesor Teivo Teivainen dari Universiti Helsinki baru-baru ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×