SAN SALVADOR: Pihak berkuasa El Salvador merampas bungkusan mengandungi 1.4 tan kokain yang terapung di Lautan Pasifik, menurut Presiden Nayib Bukele pada Selasa.
Menurut Bukele, bungkusan dadah itu ditemui kira-kira 1,600 kilometer (1,000 batu) di barat daya El Cordoncillo, berhampiran muara estuari Jaltepeque di pantai Pasifik negara itu.
Rampasan itu berlaku ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, melancarkan “perang” terhadap pengedar dadah dari Amerika Latin, dan mengisytiharkan kartel sebagai “organisasi pengganas”.
Kartel jenayah antarabangsa diketahui menggunakan negara-negara Amerika Tengah sebagai laluan utama untuk menyeludup dadah, khususnya kokain, ke AS.
Trump juga menghantar beberapa kapal perang ke arah Venezuela dan mengarahkan serangan peluru berpandu terhadap sebuah bot yang disyaki digunakan untuk pengedaran dadah, yang mengorbankan 11 orang.
Presiden Bukele berkata bungkusan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai AS$35 juta (RM148 juta).
Antara tahun 2024 hingga 2025, El Salvador telah merampas sebanyak 37.2 tan kokain dengan nilai anggaran AS$932.4 juta (RM3.9 bilion).
Washington menganggarkan 90 peratus kokain yang sampai ke AS dihantar melalui Mexico dan Amerika Tengah menggunakan pesawat kecil, bot dan kapal selam mini.











