LOS ANGELES: Dua syarikat televisyen utama Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menghentikan siaran program hos komedi popular, Jimmy Kimmel akibat tekanan kerajaan, mengumumkan akan menyiarkan semula rancangan itu sekali gus menamatkan boikot terhadap beliau.
Stesen milik Disney, ABC sebelum ini menggantung produksi apabila syarikat penyiaran Sinclair dan Nexstar bertindak menarik balik rancangan Kimmel daripada puluhan saluran tempatan milik mereka.
Langkah itu dikaitkan dengan kenyataan Kimmel selepas pembunuhan aktivis sayap kanan, Charlie Kirk namun selepas menerima kritikan hebat berkaitan isu kebebasan bersuara, ABC mengambil keputusan meneruskan semula siaran program berkenaan minggu lalu.
Kepulangan Kimmel pada Selasa lalu mencatatkan jumlah tontonan tinggi, meskipun sekatan siaran oleh Sinclair dan Nexstar menyebabkan hampir suku populasi AS tidak dapat menontonnya.
Sinclair yang sebelum ini menuntut Kimmel membuat sumbangan peribadi kepada kumpulan aktivis Kirk, pada Jumaat memaklumkan rancangan itu kembali disiarkan serta-merta.
“Kami bertanggungjawab memastikan kandungan kekal tepat dan relevan untuk penonton, di samping memenuhi obligasi menyiarkan program rangkaian nasional,” jelas kenyataan syarikat itu.
Beberapa jam kemudian, Nexstar turut mengumumkan langkah sama.
“Sebagai penyiar tempatan, kami kekal komited mempertahankan Pindaan Pertama (kebebasan bersuara) sambil memastikan berita yang disiarkan adalah berfakta, tidak berpihak dan bermanfaat untuk masyarakat,” katanya.
Kedua-dua syarikat berkenaan menggugurkan siaran Kimmel minggu lalu selepas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), Brendan Carr memberi amaran lesen penyiaran mereka mungkin ditarik balik sekiranya program itu diteruskan.
Presiden AS, Donald Trump, yang sejak sekian lama tidak senang dengan sindiran Kimmel serta hos rancangan bual bicara larut malam lain, turut berulang kali mendesak mereka dikeluarkan daripada siaran namun Sinclair menegaskan keputusan itu dibuat tanpa campur tangan kerajaan.
“Kebebasan bersuara memberi hak kepada penyiar untuk menentukan kandungan yang disiarkan,” tegasnya.
Dalam penampilan semulanya pada Selasa lalu, Kimmel membidas usaha menutup mulut beliau sebagai tidak patriotik dan satu cubaan menyekat kebebasan bersuara.
“Presiden AS secara terbuka mahu saya dan ratusan kru dipecat hanya kerana beliau tidak mampu menerima jenaka,” katanya. – AGENSI










