Doktor temui ratusan benang emas tulen dalam lutut wanita - Utusan Malaysia

Doktor temui ratusan benang emas tulen dalam lutut wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pasukan perubatan di Korea Selatan dikejutkan dengan penemuan ratusan benang emas tulen dalam lutut seorang wanita berusia 65 tahun ketika merawatnya akibat osteoartritis.

Pesakit itu sebelum ini mengalami kesakitan teruk serta kekakuan pada lutut. Dia pernah menerima rawatan konvensional termasuk ubat tahan sakit, ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) dan juga suntikan steroid ke dalam lutut, namun gagal meredakan kesakitan dan menyukarkannya menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih memburukkan keadaan, wanita itu turut mengalami kesan sampingan serius akibat ubatan termasuk sakit perut yang teruk.

Keadaan itu mendorongnya mencuba perubatan alternatif antaranya satu prosedur kontroversi dikenali sebagai akupunktur benang emas.

Pada peringkat awal, dia menjalani sesi mingguan di mana benang emas halus dimasukkan ke sekeliling lutut.

Namun, rawatan tersebut hanya menambah penderitaan kerana kesakitan akibat osteoartritis semakin memburuk, menyebabkan dia meningkatkan kekerapan rawatan kepada beberapa kali seminggu.

Akhirnya, kesakitan yang semakin kronik memaksanya kembali ke hospital.

Hasil pemeriksaan X-ray mendedahkan semua simptom biasa osteoarthritis iaitu penebalan serta pengerasan bahagian dalam tulang tibia, pertumbuhan tulang di lutut selain penemuan mengejutkan, ratusan benang emas kecil tertanam dalam tisu sekitar lutut.

Menurut pakar, akupunktur benang emas tidak mempunyai bukti saintifik yang bermanfaat, sebaliknya membawa banyak risiko.

Benang halus itu boleh menyebabkan sista, berpindah ke bahagian tubuh lain, merosakkan tisu sekitar, malah menghalang imbasan MRI yang penting untuk menyelamatkan nyawa kerana risiko pergerakan logam serta kerosakan salur darah.

Kaedah rawatan ini sebenarnya telah lama diamalkan di beberapa negara Asia untuk merawat pelbagai jenis kesakitan dan kekal popular terutamanya dalam kalangan warga emas.

Benang emas steril dipercayai memberikan rangsangan berterusan dalam tubuh dan melegakan sakit, namun tiada bukti saintifik menyokong keberkesanannya.

Sebaliknya, pakar perubatan memberi amaran rawatan ini sering memburukkan keadaan kerana pesakit menangguhkan rawatan berkesan yang sebenar. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×