GAZA CITY: Walaupun kereta kebal Israel terus mara dan melancarkan pemusnahan sistematik terhadap Gaza City dari darat, udara dan laut, para doktor di Hospital al-Shifa bertegas meninggalkan pesakit bukanlah satu pilihan.
Hospital yang suatu ketika dahulu merupakan kompleks perubatan terbesar di Semenanjung Gaza kini hampir musnah selepas beberapa siri serangan darat dan udara Israel sejak perang bermula pada Oktober 2023. Namun, bagi rakyat Palestin, al-Shifa tetap menjadi simbol ketabahan dan ketahanan.
Bangunan bekas klinik yang masih tersisa kini dijadikan wad kecemasan merawat ratusan mangsa cedera akibat serangan Israel. Sebahagian daripada jabatan pembedahan yang musnah pula diubah menjadi unit rawatan rapi bagi pesakit terlantar.
Dalam masa sama, ramai penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal terus berdepan kebuluran dan serangan berhampiran kawasan hospital tersebut.
Seorang doktor sukarelawan dari Australia yang kini bertugas di hospital itu menggambarkan keadaan sebagai ‘amat mengerikan’.
“Ketabahan yang saya lihat pada para doktor di sini benar-benar luar biasa. Mereka adalah wira sebenar,” katanya kepada Al Jazeera, sambil menjelaskan doktor, jururawat dan pelajar perubatan bukan sahaja bekerja tetapi juga tinggal di dalam hospital itu.
“Kami baru berada di sini selama dua minggu dan sukar membayangkan jumlah trauma serta kerja keras yang perlu ditanggung. Rasanya mustahil ada manusia mampu bertahan dalam keadaan sebegini,” katanya.
Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, terus memimpin pasukannya dengan penuh keberanian walaupun berdepan cabaran yang menggerunkan.
Beliau sebelum ini pernah dipenjara lebih tujuh bulan oleh Israel selepas dituduh tanpa bukti kononnya Hamas menggunakan al-Shifa sebagai pangkalan tentera.
Namun, pada Sabtu lalu, serangan udara Israel terhadap kediaman keluarganya meragut sekurang-kurangnya lima nyawa, termasuk abangnya, kakak ipar dan anak-anak pasangan itu serta dia melihat sendiri jenazah mereka di al-Shifa.
“Pasukan perubatan kami masih melaksanakan misi kemanusiaan di kompleks hospital ini walaupun dalam tekanan yang amat berat.
“Pesanan kami jelas, kami akan terus berkhidmat merawat pesakit dan mangsa yang cedera sebaik mungkin,” katanya.










