Denmark desak genosid Gaza dihentikan segera tapi enggan iktiraf Palestin - Utusan Malaysia

Denmark desak genosid Gaza dihentikan segera tapi enggan iktiraf Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Denmark semalam menggesa genosid di Gaza segera ditamatkan sambil menyatakan kesediaan untuk memperkukuh usaha ke arah penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel.

Denmark kini menjadi satu-satunya negara Scandinavia yang belum mengiktiraf Palestin, berbeza dengan beberapa negara Barat lain yang berbuat demikian bulan ini termasuk Britain, Kanada, Australia, Portugal, Perancis, Monaco, Luxembourg, Malta dan terbaru San Marino.

Wakil Tetap Denmark ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christina Markus Lassen menegaskan di Perhimpunan Agung PBB kunci pengiktirafan Palestin tidak sepatutnya lagi berada di tangan kerajaan Israel.

“Rakyat Palestin mesti menjadi tuan kepada nasib mereka sendiri,” katanya.

Lassen turut menyifatkan keadaan di Gaza kini bukan lagi soal mempertahankan diri oleh Israel, sebaliknya satu bencana kemanusiaan yang amat parah.

“Fakta yang berlaku di Gaza ketika ini tiada kaitan dengan hak mempertahankan diri. Kebuluran yang dicipta manusia semakin merebak, ribuan orang awam terbunuh dan bencana kemanusiaan yang berlaku amat mengerikan. Ia mesti dihentikan segera… perang di Gaza perlu segera ditamatkan,” tegasnya.

Copenhagen selama ini dikenali sebagai penyokong tradisional Israel dan tidak pernah menggambarkan krisis Gaza sebagai ‘genosid’, istilah yang digunakan beberapa pegawai EU dan PBB kebelakangan ini.

Bagaimanapun, tekanan semakin memuncak terhadap kerajaan Denmark agar menggunakan kedudukannya sebagai Presiden EU ketika ini untuk mendesak Israel menghentikan perang dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Minggu lalu, AkademikerPension, sebuah dana pencen utama guru di Denmark bernilai AS$24 bilion (RM101 bilion), menarik balik pelaburannya dari Israel.

Tindakan itu menjadikannya sebagai dana Scandinavia kedua berbuat demikian selepas Dana Kekayaan Negara Norway dana terbesar di dunia mengumumkan langkah sama Ogos lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN