WASHINGTON: Cucu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencuri perhatian apabila melancarkan jenama pakaian atas namanya sendiri dengan foto promosi dirakam di kawasan Rumah Putih.
Kai Trump, 18, yang juga anak kepada Donald Trump Jr., dilihat memperagakan salah satu koleksi baju panas berharga AS$130 (RM548) ketika bersama datuknya menjawab soalan wartawan di pekarangan kediaman rasmi Presiden itu semalam.
“Ini Kai, cucu saya,” kata Trump, 79, sambil memperkenalkan cucunya yang pernah menyampaikan ucapan ringkas pada Konvensyen Republikan tahun lalu.
Kedua-duanya yang juga peminat sukan golf kemudiannya menaiki helikopter menuju ke kejohanan golf Ryder Cup.
Kai, cucu sulung Trump yang dijangka menyertai pasukan golf Universiti Miami tahun depan, mengumumkan pelancaran jenama fesyen itu di media sosial pada Khamis.
Laman web rasmi jenama tersebut menampilkan rekaan baju panas dengan sulaman pada dada serta tandatangan Kai di bahagian pergelangan tangan.
Foto promosi memaparkan Kai bergaya dengan koleksi tersebut di pekarangan Rumah Putih.
Difahamkan, ibu bapa Kai sudah bercerai dan ibunya kini dilaporkan menjalin hubungan dengan legenda golf, Tiger Woods.
Tidak seperti Presiden terdahulu, Trump terkenal memasarkan pelbagai produk dengan jenama keluarganya.
Beliau kerap dikritik kerana didakwa menggunakan kedudukan sebagai Presiden untuk mempromosikan kepentingan kewangan keluarga, termasuk dalam bidang hartanah dan mata wang kripto. – AFP











