JAKARTA: Penyiasat Indonesia semalam menamakan bekas Menteri Pendidikan dan pengasas bersama syarikat pengangkutan e-hailing Gojek, Nadiem Makarim, sebagai suspek dalam kes rasuah membabitkan pembekalan komputer riba yang didakwa tidak telus.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Nurcahyo Jungkung Madyo, berkata Nadiem yang memegang jawatan Menteri Pendidikan dari 2019 hingga 2024, ditahan selama 20 hari bagi membantu siasatan.
Menurutnya, Nadiem didakwa menyalahgunakan kuasa ketika memegang jawatan menteri untuk memperkayakan diri atau pihak tertentu melalui projek pembekalan komputer riba Chromebook keluaran Google yang digunakan kementerian dan pelajar.
“Berdasarkan hasil siasatan, kerugian negara dianggarkan mencecah 1.98 trilion rupiah (RM508 juta),” katanya pada sidang media, semalam.
Tambah Nurcahyo, pada tahun 2021 Nadiem mengeluarkan satu dekri rasmi yang menetapkan spesifikasi pembekalan hanya selaras dengan komputer riba Chromebook.
Sebelum itu, beliau didakwa bertemu wakil Google Indonesia sebanyak enam kali.
Google setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.
Pada Julai lalu, pejabat peguam negara turut menyerbu syarikat teknologi GoTo Gojek Tokopedia bagi mendapatkan bahan bukti, namun enggan mengulas lanjut hasil serbuan tersebut.
Syarikat itu juga belum mengeluarkan kenyataan balas.
Nadiem meninggalkan Gojek pada 2019 selepas dilantik sebagai menteri dan dua tahun kemudian, syarikat tersebut bergabung dengan syarikat e-dagang Tokopedia, sekali gus melahirkan GoTo Gojek Tokopedia yang kini menjadi syarikat teknologi terbesar di Indonesia. -AGENSI










