Bekalan khemah ada 35,000 unit tapi hanya 300 dibenarkan masuk ke Gaza - Utusan Malaysia

Bekalan khemah ada 35,000 unit tapi hanya 300 dibenarkan masuk ke Gaza

PENDUDUK Palestin memeriksa kerosakan di lokasi serangan Israel, di kem perlindungan Deir el-Balah, tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Palang Merah pada Isnin memaklumkan pasukannya mengagihkan lebih 300 khemah ke kem-kem pelarian di selatan Gaza dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Namun, agensi itu memberi amaran bekalan bahan perlindungan ke wilayah tersebut jauh daripada mencukupi berbanding keperluan mendesak di lapangan.

Selain daripada 300 khemah yang sudah dihantar, lebih 1,500 khemah lagi dijangka tiba dalam beberapa hari akan datang.

Namun, ratusan ribu orang masih amat memerlukan khemah atau terpal baharu selepas berbulan-bulan menggunakan bekalan sedia ada yang kini sudah rosak atau haus.

“Ramai keluarga pelarian kini hidup dalam keadaan yang amat daif, ada yang tinggal di celah runtuhan rumah mereka yang musnah dan ada juga yang berlindung dalam khemah buatan sendiri daripada terpal dan besi buruk,” kata Sarah Davies, jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) kepada Reuters.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pula memberitahu Reuters, beberapa kumpulan kemanusiaan menghantar sejumlah kecil khemah ke Gaza dalam beberapa minggu kebelakangan ini, namun jumlah itu jauh dari mencukupi.

Menurut PBB, lebih 1.3 juta rakyat Gaza kini tidak memiliki khemah, dan angka itu dijangka meningkat lagi susulan serangan besar-besaran Israel ke atas Bandar Gaza, di mana ratusan ribu penduduk masih tinggal dalam runtuhan.

COGAT, agensi pertahanan Israel yang menguruskan isu kemanusiaan, memberitahu Reuters 5,000 khemah telah dibenarkan masuk ke Gaza sejak sekatan ke atas bahan perlindungan ditarik balik pada akhir Ogos.

Namun, badan bantuan seperti CARE International, ShelterBox, dan Majlis Pelarian Norway (NRC) menyatakan mereka masih belum menerima kebenaran rasmi untuk menghantar bekalan perlindungan ke Gaza, walaupun sekatan itu telah ditarik balik.

Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) memberitahu Reuters mereka masih mempunyai kira-kira 35,000 khemah dan setengah juta terpal yang tersimpan di Jordan menunggu pelepasan kastam.

“Kami kecewa. Apa yang diperlukan sekarang adalah penyelesaian politik. Selepas itu barulah halangan seperti pelepasan kastam boleh dihapuskan dan bantuan boleh disalurkan dengan lebih pantas,” kata Karl Baker, Penyelaras Krisis Serantau dan Ketua Tindakan IOM untuk Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN