AS tarik balik sekatan visa Ghana, jadikan hab pendatang asing

AS tarik balik sekatan visa Ghana, jadikan hab pendatang asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ACCRA: Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan visa yang dikenakan ke atas Ghana selepas negara Afrika Barat itu muncul sebagai hab penghantaran pulang pendatang asing dalam usaha Presiden, Donald Trump memperketat dasar imigresennya.

Perkara itu disahkan Menteri Luar Ghana, Samuel Okudzeto Ablakwa yang menyifatkan keputusan Washington sebagai hasil rundingan diplomatik berprofil tinggi selama berbulan-bulan.

Katanya, berita gembira itu dimaklumkan pegawai AS ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

“Sekatan visa yang dikenakan ke atas Ghana kini telah ditarik balik. Rakyat Ghana kini layak memohon visa kemasukan berganda untuk tempoh lima tahun serta menikmati beberapa kemudahan konsular lain,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Awal bulan ini, Presiden Ghana, John Mahama mengakui negara itu menerima kemasukan warga Afrika Barat yang dihantar pulang dari AS, meskipun mereka tidak mempunyai ikatan keluarga atau hubungan dengan Ghana.

Trump sebelum ini menjadikan dasar penghantaran pulang ke negara ketiga sebagai sebahagian daripada agenda anti-imigresen beliau, dengan menghantar pendatang ke negara lain yang bukan tanah asal mereka.

Accra menegaskan tidak menerima sebarang ganjaran daripada Washington bagi menempatkan pendatang tersebut, walaupun Mahama mengakui persetujuan itu dicapai ketika hubungan kedua-dua negara semakin tegang selepas AS mengenakan tarif dan sekatan visa.

Sejak awal September, sekurang-kurangnya 14 warga Afrika Barat telah dihantar ke Ghana namun, menurut peguam pendatang terbabit, Meredyth Yoon, mereka sebenarnya memperoleh perlindungan daripada mahkamah imigresen AS bagi mengelak dihantar pulang ke negara asal.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya empat orang dihantar kembali ke negara asal masing-masing oleh Ghana, sementara lapan hingga 10 lagi dipindahkan secara tiba-tiba ke Togo hujung minggu lalu dan dibiarkan mencari perlindungan sendiri.

Bagaimanapun, kerajaan Ghana menegaskan langkah menerima pendatang Afrika Barat adalah atas dasar kemanusiaan semata-mata dan bukan sokongan terhadap dasar imigresen AS. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN