AS mungkin benarkan Ukraine 'serang lebih jauh' di wilayah Russia - Utusan Malaysia

AS mungkin benarkan Ukraine ‘serang lebih jauh’ di wilayah Russia

GAMBARAN Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) jarak jauh buatan AS yang digunakan Ukraine dalam memerangi pencerobohan Russia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine, Keith Kellogg memberi bayangan kemungkinan Ukraine dibenarkan melancarkan serangan jarak jauh ke atas wilayah Russia dengan menggunakan senjata buatan AS, sekali gus menandakan perubahan ketara pendirian pentadbiran Donald Trump terhadap konflik berlarutan itu.

Dalam temu bual bersama Fox News pada Ahad, Kellogg ditanya sama ada Trump sudah memberi kebenaran kepada Kyiv untuk menyerang jauh ke dalam wilayah Rusia, beberapa hari selepas Moscow dituduh menghantar jet pejuang dan dron yang menceroboh ruang udara beberapa negara Eropah.

“Berdasarkan kenyataan Presiden Trump, Naib Presiden JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio, jawapannya adalah ya. Gunakan keupayaan untuk menyerang jauh. Tiada istilah kawasan perlindungan,” katanya.

Naib Presiden Vance pula dalam satu program Fox News berasingan mengesahkan Washington kini sedang berbincang sama ada mahu membekalkan peluru berpandu jelajah jarak jauh Tomahawk kepada Kyiv, sesuatu yang sebelum ini pernah ditolak oleh Trump.

“Presiden yang akan membuat keputusan akhir mengenai perkara itu,” ujar Vance sambil menambah AS sedang meneliti beberapa permintaan daripada negara-negara Eropah.

Bagaimanapun, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menegaskan dalam satu sidang media semalam tiada senjata baharu mampu mengubah keadaan di medan perang.

“Tiada senjata ajaib. Sama ada Tomahawk atau peluru berpandu lain, ia tidak akan mampu mengubah dinamik pertempuran,” katanya.

Pada minggu lalu, Trump selepas bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menyatakan Kyiv kini berada pada kedudukan yang lebih baik dengan sokongan Kesatuan Eropah (EU) untuk berjuang dan menuntut semula keseluruhan wilayah Ukraine dalam bentuk asalnya.

Perkembangan ini dilihat sebagai perubahan besar Trump terhadap isu Ukraine, selepas beliau pada Februari lalu dalam pertemuan tegang dengan Zelenskyy di Rumah Putih pernah menyatakan Kyiv tidak mempunyai kekuatan untuk menewaskan Russia.

Meskipun begitu, Moscow berikrar akan terus meneruskan operasi ketenteraannya yang kini memasuki tahun keempat, malah menolak dakwaan Trump Russia hanyalah harimau kertas dengan ekonomi yang sedang tenat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×