MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 41 lagi cedera apabila sebuah kereta api kargo merempuh bas dua tingkat di kawasan tengah Mexico, menurut pihak berkuasa tempatan.
Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan media tempatan menunjukkan kereta api itu melanggar bas berkenaan ketika ia sedang melintasi landasan di Atlacomulco, kira-kira 100 kilometer di barat laut ibu kota Mexico City.
Tiada palang keselamatan kelihatan dalam rakaman tersebut, yang turut menunjukkan kenderaan lain berhenti dan tidak melintasi landasan.
“Kami merekodkan seramai 41 orang cedera dan terdapat 10 kematian,” kata Pegawai Perlindungan Awam, Adrian Hernandez.
Beliau berkata, empat daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan parah.
Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa penumpang yang cedera memanjat keluar dari bas, manakala foto di lokasi pula menunjukkan bahagian bumbung dan belakang bas itu tercabut sepenuhnya.
Pemandu bas tersebut ditahan dan kini berada di pejabat pendakwa tempatan.-AFP










