KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Ahad memperoleh sokongan diplomatik daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjelang sidang kemuncak Russia-Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Kyiv bimbang sekiranya Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Donald Trump cuba menetapkan syarat bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama tiga setengah tahun.
Trump, yang sebelum ini selama berminggu-minggu mengugut untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Russia kerana gagal menghentikan perang mengumumkan pada Jumaat ini beliau akan bertemu Putin di Alaska.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata, Trump terbuka dengan kehadiran Zelensky, namun persiapan ketika ini hanya untuk mesyuarat dua hala tanpa melibatkan pemimpin Ukraine itu.
Pada Ahad, Kementerian Luar Ukraine melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera akibat serangan Russia di wilayah Zaporizhzhia. Mengulas serangan itu, Zelensky berkata, itulah sebabnya sekatan dan tekanan diperlukan.
Putin minggu lalu menolak untuk bertemu Zelensky, dengan alasan syarat bagi pertemuan sedemikian masih jauh untuk dipenuhi.
Trump pula menyatakan perjanjian yang berpotensi mungkin melibatkan pertukaran wilayah untuk kebaikan kedua-dua pihak, sekali gus menambah kebimbangan Ukraine mereka mungkin dipaksa menyerahkan tanah.
Zelensky menegaskan sebarang keputusan yang dibuat tanpa penglibatan Ukraine adalah tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Pada Sabtu, pemimpin Britain, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Finland dan Suruhanjaya Eropah menyatakan sebarang penyelesaian diplomatik mesti melindungi kepentingan keselamatan Ukraine dan Eropah.
“Kami percaya AS mempunyai kuasa untuk memaksa Russia berunding secara serius. Sebarang perjanjian antara AS dan Russia mesti melibatkan Ukraine dan EU, kerana ini adalah soal keselamatan Ukraine dan seluruh Eropah,” kata Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.










