Wanita tertua dunia rai ulang tahun ke-116

Wanita tertua dunia rai ulang tahun ke-116

ETHEL CATERHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ethel Caterham, wanita tertua dunia dan satu-satunya individu yang masih hidup dari era Edwardian kelmarin menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-116 di rumah jagaan Lightwater, Surrey, ditemani ahli keluarga terdekat.

Dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di Shipton Bellinger, Hampshire, Caterham membesar ketika Herbert Henry Asquith menjadi Perdana Menteri Britain dan ketika lagu Shine on Harvest Moon nyanyian Ruth Etting menjadi siulan ramai.

Dia juga merupakan subjek terakhir kepada pemerintahan Raja Edward VII yang mangkat pada Mei 1910.

Caterham yang kehilangan suami, Norman, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar pada 1976, pernah menetap di Hong Kong dan Gibraltar bersama keluarga sebelum pulang ke Britain.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata.

Ketika ditemu bual BBC pada 2020, Caterham berkata rahsia panjang umurnya ialah sentiasa menerima segala yang datang dengan tenang, sama ada saat suka mahupun duka.

Menurut jurucakap rumah jagaan tersebut, Caterham memilih tidak ditemu bual sempena hari lahirnya kali ini dan hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga.

Wanita itu turut menerima ucapan istimewa daripada Raja Charles, sama seperti tahun lalu ketika baginda mengirim kad ucapan ulang tahun ke-115.

Tahun kelahiran Caterham menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah, termasuk pengenalan skim pencen warga emas pertama di Britain di mana pada ketika itu, Raja Edward VII memerintah negara tersebut manakala William Howard Taft menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN