Wabak listeria ragut dua nyawa di Perancis, dikhuatiri merebak di Eropah

Wabak listeria ragut dua nyawa di Perancis, dikhuatiri merebak di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Seramai 25 orang dijangkiti dan dua meninggal dunia akibat wabak listeria yang dikaitkan dengan produk keju lembut keluaran sebuah syarikat pengeluar dari Perancis.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC), wabak berkenaan dipercayai berpunca daripada keju lembut berasaskan susu lembu dan kambing dipasteur keluaran syarikat Chavegrand.

Produk berkenaan kini sedang ditarik balik dari pasaran, namun dijual di bawah pelbagai jenama komersial dan kesemua produk terbabit boleh dikenal pasti melalui tanda kesihatan FR 23.117.001, dengan tarikh pengeluaran sebelum 23 Jun lalu.

Setakat ini, Perancis mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 21 kes, termasuk dua kematian, sejak Disember 2024 hingga Jun 2025.

Majoriti kes berlaku selepas Jun lalu, melibatkan pesakit berusia antara 34 hingga 95 tahun manakala empat kes lain turut direkodkan di Belgium, Denmark, Belanda dan Norway antara April hingga Julai tahun ini.

ECDC memberi amaran produk berpotensi tercemar itu mungkin sudah diedarkan ke sekitar 30 negara termasuk Britain, Switzerland, Belgium, Denmark dan Belanda.

Dalam kenyataannya, agensi itu menegaskan, insiden pencemaran keju lembut pasteur adalah jarang berlaku dan tidak berisiko tinggi kepada orang ramai yang berada dalam keadaan sihat.

Bagaimanapun, individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil serta mereka yang mempunyai masalah imun atau penyakit kronik dinasihatkan agar lebih berwaspada terhadap simptom seperti demam atau sakit kepala teruk dan segera mendapatkan rawatan perubatan.

Listeriosis ialah jangkitan serius berpunca daripada bakteria ‘listeria monocytogenes’ di mana meskipun makanan tercemar mungkin tidak menunjukkan tanda rosak, ia masih boleh menyebabkan jangkitan berbahaya termasuk komplikasi seperti meningitis.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA), sebanyak 179 kes listeriosis direkodkan di England dan Wales pada tahun lalu, dengan 28 kematian di mana London dilaporkan mencatat kadar jangkitan tertinggi.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menganggarkan sekitar 1,600 kes jangkitan listeria berlaku setiap tahun. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN