UNSC desak gencatan senjata di Gaza, hanya AS tidak menyokong - Utusan Malaysia

UNSC desak gencatan senjata di Gaza, hanya AS tidak menyokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seramai 14 daripada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kecuali Amerika Syarikat (AS) menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Semenanjung Gaza serta mendesak Israel membatalkan keputusannya untuk meluaskan operasi ketenteraan di wilayah bergolak itu.

Dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh Timbalan Wakil Tetap Guyana ke PBB, Trishala Simantini Persaud, dan Timbalan Wakil Tetap Slovenia, Ondina Blokar Drobic, negara-negara tersebut menyifatkan tindakan Israel itu sebagai pencetus krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

“Kami menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan. Kami juga menuntut pembebasan serta-merta, bermaruah dan tanpa syarat semua tawanan yang ditahan Hamas dan kumpulan lain, serta peningkatan besar bantuan kemanusiaan di seluruh Gaza,” menurut kenyataan itu.

Negara-negara terbabit turut menolak keputusan Israel untuk menduduki semula Bandaraya Gaza dan memberi amaran bahawa langkah tersebut akan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan serta mengancam nyawa orang awam dan tahanan.

Antara negara yang menandatangani kenyataan itu ialah Algeria, China, Denmark, Perancis, Greece, Guyana, Pakistan, Panama, Republik Korea, Rusia, Sierra Leone, Slovenia, Somalia dan United Kingdom.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas taklimat bulanan UNSC berhubung perkembangan di Asia Barat, termasuk isu Palestin.

Ia turut merujuk kepada pengesahan Jawatankuasa Semakan Kebuluran PBB bahawa kebuluran kini sedang berlaku di Gaza dan berpotensi merebak ke wilayah Deir al-Balah serta Khan Younis menjelang akhir September.

“Ini adalah krisis buatan manusia. Penggunaan kebuluran sebagai senjata perang jelas dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegas kenyataan itu.

Negara-negara itu menuntut Israel membuka semua laluan bantuan kemanusiaan, menarik balik sekatan serta memberi laluan selamat kepada PBB dan rakan kemanusiaannya untuk beroperasi secara menyeluruh.

Mereka menegaskan prinsip kemanusiaan termasuk perikemanusiaan, keneutralan, kesaksamaan dan kebebasan mesti menjadi asas kepada segala tindakan bantuan.

“Situasi ini amat mendesak. Kecemasan kemanusiaan ini mesti ditangani tanpa berlengah. Israel mesti mengubah haluan,” menurut kenyataan itu lagi.

AS merupakan satu-satunya anggota UNSC yang tidak menyokong kenyataan tersebut, sejajar dengan pendiriannya yang kerap menyokong tindakan Israel dalam konflik berpanjangan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN