‘Ukraine perlu sedar diri, mereka bukan kuasa besar’

‘Ukraine perlu sedar diri, mereka bukan kuasa besar’

DONALD Trump bersama Vladimir Putin selepas mereka tiba di Anchorage, Alaska. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: ‘Russia merupakan kuasa besar dan Ukraine bukan kuasa besar, maka Volodymyr Zelensky perlu buat rundingan untuk akhiri perang’.

Kenyataan itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump selepas beliau mengadakan pertemuan de­ngan Presiden Vladimir Putin di Alaska, kelmarin, menyaksikan tiada sebarang persetujuan gencatan senjata dicapai.

Sebaliknya, Putin memberi­tahu Trump beliau mahu menuntut lebih banyak wilayah di Ukraine sekiranya negara itu mahu menamatkan perang.

Trump juga memberitahu Zelensky mengenai tawaran Putin untuk membekukan kebanyakan barisan hadapan tenteranya sekiranya Kyiv menye­rahkan seluruh wilayah Donetsk iaitu kawasan perindustrian yang menjadi antara sasaran utama Moscow, menurut sumber yang arif tentang perkara itu.

Namun, tawaran itu ditolak Zelensky dengan Russia kini sudah menguasai satu per lima wilayah Ukraine, termasuk tiga per empat daripada wilayah Donetsk, yang mula diduduki­nya sejak tahun 2014.

Trump turut menyatakan persetujuannya dengan Putin mengenai perjanjian damai perlu diusahakan tanpa keperluan untuk gencatan senjata terlebih dahulu, satu perubahan daripada pendiriannya sebelum ini yang menegaskan beliau tidak akan berpuas hati tanpa perjanjian gencatan senjata.

“Sudah dipersetujui oleh semua cara terbaik untuk menamatkan perang dahsyat antara Russia dan Ukraine adalah dengan terus menuju ke perjanjian damai, bukan sekadar perjanjian gencatan senjata yang sering kali tidak bertahan lama,” kata Trump di platform Truth Social.

Zelensky pula menegaskan keengganan Russia untuk menghentikan serangan akan menyukarkan usaha mencapai keama­nan berkekalan.

“Menghentikan pembunuhan adalah elemen utama dalam menghentikan perang,” katanya di platform X.

Walaupun begitu, Zelensky berkata beliau akan bertemu dengan Trump di Washington hari ini.

Sekutu Eropah Ukraine mengalu-alukan usaha diplomatik Trump, namun menegaskan mereka akan terus menyokong Ukraine dan mengetatkan sekatan terhadap Russia.

Kenyataan-kenyataan Trump mengenai pertemuan tiga jam dengan Putin sejajar de­ngan pendirian rasmi Moscow, yang menya­takan penyelesaian menyeluruh adalah sukar memandangkan kedudukan ke­dua-dua pihak adalah ‘amat bertentangan’.

Putin tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam tuntutan utamanya, termasuk hak untuk menghalang Ukraine menyertai NATO. Beliau juga tidak menyebut sebarang pertemuan dengan Zelensky. Pembantu Kremlin, Yuri Ushakov, berkata bahawa sidang kemuncak tiga hala tidak dibincangkan.

Dalam wawancara bersama Sean Hannity di Fox News, Trump mengesahkan beliau dan Putin berbincang mengenai penyerahan wilayah dan jaminan keselamatan kepada Ukraine, dan mereka telah ‘sebahagian besarnya bersetuju’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN