Trump saran JD Vance calon Republikan bagi pemilihan Presiden AS 2028 - Utusan Malaysia

Trump saran JD Vance calon Republikan bagi pemilihan Presiden AS 2028

JD VANCE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa berkata, Naib Presidennya, JD Vance, merupakan calon yang paling berkemungkinan untuk menerima pencalonan Parti Republikan bagi pemilihan presiden 2028.

Trump sebelum ini mengelak daripada menamakan pengganti pilihannya dan pada Februari lalu berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan walaupun Vance adalah seorang yang sangat berkelayakan.

Namun ketika ditanya sama ada Vance adalah pewaris gerakan Make America Great Again (MAGA), Trump menjawab bahawa ia berkemungkinan besar.

“Secara adilnya, dia adalah Naib Presiden,” kata Trump kepada pemberita.

Kenyataan itu hadir di tengah spekulasi bahawa Trump mungkin cuba mencabar had perlembagaan dan menawarkan diri untuk penggal ketiga sebagai presiden.

“Masih terlalu awal untuk membincangkannya, tetapi yang pasti dia (Vance) sedang menjalankan tugas dengan cemerlang. Dan ketika ini, beliau mungkin menjadi pilihan utama,” kata Trump.

Trump juga mencadangkan idea gandingan JD Vance dengan Setiausaha Negara, Marco Rubio, sebagai satu pasukan Republikan yang mantap.

“Saya fikir Marco juga adalah seseorang yang mungkin boleh berganding dengan JD dalam satu bentuk kerjasama,” katanya.

Trump sebelum ini beberapa kali memberi isyarat mahu kembali bertanding untuk penggal ketiga, walaupun Perlembagaan AS dengan jelas mengehadkan jawatan presiden kepada dua penggal.

Namun, dalam temu bual bersama CNBC menerusi rancangan Squawk Box pada Selasa, Trump berkata beliau mungkin tidak akan bertanding semula.

“Saya mahu bertanding. Saya kini mempunyai angka tinjauan tertinggi pernah saya capai,” katanya.

Trump merupakan satu-satunya Presiden AS yang pernah didakwa sebanyak dua kali, kali pertama pada 2019 atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan menghalang Kongres dan sekali lagi pada 2021 kerana menghasut pemberontakan. Beliau telah dibebaskan oleh Senat dalam kedua-dua kes.

JD Vance, bekas anggota Marin dan peguam kini memainkan peranan penting dalam pentadbiran Trump sebagai penyokong utama dasar domestik dan utusan diplomatik penting.
Naib Presiden itu sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk bertanding dalam pilihan raya 2028, namun hanya selepas berbincang dengan Trump. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN