WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengadakan pertemuan bersemuka dengan Presiden Russia, Vladimir Putin seawal minggu hadapan, menurut laporan The New York Times pada Rabu yang memetik dua individu berpengetahuan langsung mengenai perkara itu.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Trump merancang satu lagi pertemuan berasingan yang akan melibatkan Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky,satu langkah diplomatik yang berpotensi besar dalam usaha menamatkan perang Russia-Ukraine yang kini memasuki tahun keempat.
Perancangan tersebut difahamkan telah didedahkan dalam satu panggilan persendirian bersama beberapa pemimpin Eropah pada awal pagi Rabu. Namun, setakat ini, Rumah Putih masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan itu.
Sebelum ini, Trump mengesahkan bahawa beliau telah berbincang dengan pemimpin Eropah berikutan satu pertemuan yang digambarkannya sebagai “amat produktif” antara utusannya, Steve Witkoff, dan Putin di Russia.
“Semua pihak bersetuju bahawa perang ini mesti ditamatkan, dan kami akan bekerja ke arah itu dalam masa terdekat,” kata Trump menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social.
Trump yang sebelum ini berjanji akan menamatkan perang Ukraine pada “hari pertama” jika kembali ke White House, dilaporkan telah beberapa kali menghubungi Putin dan turut bertemu dengan Zelensky sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu.
Namun begitu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump semakin lantang menyuarakan rasa kecewanya terhadap Moscow yang menurutnya gagal menunjukkan kemajuan dalam menamatkan konflik tersebut.









