RAFAH: Di hadapan lensa kamera, Israel mahu dunia percaya mereka melonggarkan sekatan, seolah-olah membuka pintu bantuan ke Gaza.
Hakikatnya, rejim Zonis terus menyulitkan keadaan dengan lori-lori dipenuhi muatan makanan dan ubat-ubatan dibiarkan beratur di bawah terik matahari.
Pemandu-pemandu trak bantuan semakin tertekan apabila mereka sering kali diarah berpatah balik kerana alasan remeh seperti ketiadaan pelekat, palet senget atau kotak yang sedikit terbuka.
Kenyataan rejim Zionis sekadar sandiwara untuk meredakan tekanan antarabangsa terutama dari sekutunya Amerika Syarikat (AS) tetapi di lapangan, terlalu sedikit bantuan yang dibenarkan masuk, jauh daripada mencukupi untuk rakyat Gaza yang kebuluran.
Ribuan kotak-kotak bantuan ke Gaza dibiarkan tersadai rosak di atas trak dan treler hanya beberapa meter dari sempadan Mesir, sekali gus mencetus kemarahan pemandu-pemandu lori dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap kelewatan menghantar makanan dan ubat-ubatan ke wilayah itu.
Tujuh pegawai bantuan dan tiga pemandu lori yang ditemu bual Reuters menyenaraikan pelbagai halangan daripada penolakan kargo atas alasan remeh seperti pembungkusan atau dokumen yang tidak sempurna, pemeriksaan ketat atas dakwaan kegunaan berganda ketenteraan, sehinggalah waktu operasi pintu sempadan Israel yang singkat.
Tinjauan dilakukan di sempadan Mesir-Gaza pada Isnin menerusi lawatan anjuran ‘The Elders’, sebuah kumpulan bekas pemimpin dunia diasaskan oleh mendiang Presiden ikon Afrika Selatan, Nelson Mandela yang menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.
Beberapa anggota The Elders yang lantang mengkritik tindakan Israel di Gaza, termasuk bekas Presiden Ireland, Mary Robinson dan bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark turut menyertai lawatan ke sempadan itu.
Pada 27 Julai lalu, Israel mengumumkan langkah untuk mempercepatkan kemasukan bekalan dan menafikan sebarang had kuantiti, namun agensi bantuan mendakwa hanya sebahagian kecil daripada penghantaran mereka yang benar-benar sampai.
Clark yang meninjau di lintasan Rafah, menyifatkan keadaan itu amat mengejutkan dan menyedihkan apabila melihat lokasi yang sepatutnya menjadi laluan manusia berinteraksi kini sunyi dan terkepung.
Karenah birokrasi menyekat bantuan
Menurut pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sempadan, semasa gencatan senjata awal perang, kelulusan kargo ke Rafah hanya mengambil masa beberapa hari tetapi kini memakan masa sekurang-kurangnya sebulan.

Data rasmi pihak Gaza menunjukkan sejak 27 Julai lalu, hanya 1,334 lori bantuan memasuki Gaza dari semua lintasan, jauh berbanding 9,000 lori jika purata 600 lori sehari dibenarkan masuk, angka minimum yang disyorkan AS untuk mengelak kebuluran besar-besaran.
Sejak pertengahan Julai, Israel mewajibkan pelepasan kastam bagi semua penghantaran bantuan dari Mesir.
Menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) tindakan itu menambah halangan birokrasi, kelewatan dan kos kepada organisasi kemanusiaan.
Hanya agensi PBB diberi pengecualian sementara, namun NGO antarabangsa lain perlu memohon bagi setiap penghantaran dan terhad kepada barangan kesihatan sahaja.
Lebih 200 rakyat Gaza dilaporkan mati akibat kekurangan zat makanan atau kebuluran, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, di samping lebih 61,000 yang terbunuh akibat serangan tentera.
Gudang penuh barangan ditolak
Lintasan Rafah kini ditutup di pihak Gaza yang sebelum ini dikendalikan oleh pihak berkuasa Hamas, memaksa semua lori bantuan dari Mesir beralih ke lintasan Kerem Shalom yang dikawal Israel kira-kira 3 kilometer (km) di selatan.
Seorang pemandu lori Mesir, Kamel Atteiya Mohamed berkata, daripada 200 hingga 300 lori yang cuba melalui setiap hari, hanya 30 hingga 50 yang berjaya melepasi pemeriksaan.
Walaupun pintu Mesir dibuka 24 jam, Kerem Shalom hanya beroperasi pada waktu pejabat biasa, menyebabkan banyak lori tiba ketika pintu sudah ditutup.
“Antara alasan untuk menghalang kami termasuk palet tiada pelekat, condong atau terbuka sedikit di bahagian atas. Ini bukan sebab munasabah untuk kami mengembalikan barang-barang ini.
“Setiap hari begini. Kami sudah benar-benar bosan dan muak dengan karenah mereka,” katanya.
Sebuah tapak logistik Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish, 40 km dari sempadan kini menempatkan gudang sementara dipenuhi bantuan yang dipulangkan dari sempadan.
Ia termasuk tong oksigen, kerusi roda, tayar kereta, penjana elektrik dan kit pertolongan cemas daripada pelbagai negara.
Seorang pegawai Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan, daripada 400 lori bantuan yang dihantar sejak 27 Julai, hanya 73 berjaya memasuki Gaza.
WHO mengesahkan tiga lori yang berpatah balik pada Ahad lalu selepas dihalang di pintu masuk Gaza membawa barangan seperti beg saluran kencing, iodin, plaster, dan benang jahitan luka.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pula langsung tidak dibenarkan menghantar bantuan sejak Mac.
Tiada bahan binaan dan perlindungan dibenarkan masuk sejak 2 Mac, menjadikan barangan yang masih ada di pasaran tempatan melonjak menjadi terlalu mahal dan terhad.










