Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia ditahan bagi siasatan rasuah - Utusan Malaysia

Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia ditahan bagi siasatan rasuah

Immanuel Ebenezer
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia menahan Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer, bersama 13 individu lain berhubung siasatan dakwaan pemerasan, menurut kenyataan agensi itu pada Khamis.

Immanuel, yang juga ahli parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto, menjadi anggota pertama Kabinet Prabowo yang ditahan bagi tuduhan rasuah.

Prabowo, yang mengangkat sumpah jawatan Oktober lalu menjadikan agenda memerangi rasuah dalam dan luar pentadbirannya sebagai salah satu keutamaannya.

Timbalan Ketua KPK, Fitroh Rohcahyanto memberitahu Reuters bahawa penahanan Immanuel berkait dengan siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengeluaran permit keselamatan di kementerian berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Setakat ini, tidak jelas sama ada Immanuel telah didakwa di mahkamah. Reuters juga tidak berjaya menghubungi peguam beliau untuk mendapatkan komen.

Jurucakap KPK mengesahkan 13 lagi individu turut ditahan dalam kes sama.

Sementara itu, Menteri Tenaga Kerja, Yassierli memberitahu wartawan bahawa Immanuel sebelum ini telah menandatangani dokumen menyatakan kesediaannya meletakkan jawatan sekiranya terbukti bersalah.

Beliau juga berikrar akan menambah baik sistem pengeluaran permit keselamatan dan menyifatkan kes ini sebagai tamparan hebat kepada kementerian.

Jurucakap Presiden, Prasetyo Hadi pula berkata, Immanuel akan segera digantikan sekiranya didapati bersalah.

Tahun lalu, Indonesia berada di kedudukan 99 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan badan pemantau rasuah antarabangsa, Transparency International. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN