TEL AVIV: Tentera Udara Israel (IAF) pada Ahad melancarkan serangan udara terhadap ibu kota Yemen, Sanaa, yang dikuasai kumpulan Houthi, membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Serangan ini merupakan tindak balas terhadap siri serangan oleh kumpulan Houthi yang disokong Iran terhadap Israel, termasuk serangan peluru berpandu yang membawa kepala peledak berangkai hujung minggu lalu.
Menurut tentera Israel, siasatan terhadap serangan peluru berpandu pada malam Jumaat mendapati bahawa kumpulan Houthi buat pertama kalinya menggunakan peluru berpandu dengan kepala peledak berangkai, yang sebahagiannya terkena sebuah rumah di tengah Israel.
Penghuni rumah tersebut terselamat kerana berlindung dalam ruang perlindungan khas.
Dalam kenyataan rasmi, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan serangan terhadap Sanaa menyasarkan beberapa lokasi penting termasuk kompleks ketenteraan yang menempatkan Istana Presiden Yemen, sebuah depoh bahan api dan dua stesen janakuasa.
Menurut IDF, istana presiden tersebut terletak dalam kawasan ketenteraan yang menjadi pusat operasi tentera oleh kumpulan Houthi. Beberapa media tempatan melaporkan bahawa istana itu telah lama ditinggalkan.
Dua stesen janakuasa yang diserang pula dikatakan berfungsi sebagai sumber tenaga penting untuk aktiviti ketenteraan.
“Penggunaan infrastruktur awam oleh Houthi untuk tujuan ketenteraan membuktikan taktik rejim tersebut yang mengabaikan keselamatan awam,” kata IDF.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Houthi dalam satu kenyataan di platform X mengesahkan angka korban serangan ialah enam orang dan 67 cedera.
Serangan udara tersebut melibatkan kira-kira sedozen pesawat IAF, termasuk jet pejuang dan pesawat pengisi minyak, dengan beberapa operasi pengisian semula bahan api dilakukan semasa penerbangan pergi dan balik dari Yemen.
Sebanyak 35 butir peluru berpandu digugurkan terhadap empat sasaran yang dikenal pasti.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Menteri Pertahanan Israel Katz, dan Ketua Turus IDF, Eyal Zamir turut memantau operasi dari pusat kawalan IAF di ibu pejabat tentera di Tel Aviv.










