BRUSSELS: Pemimpin dunia dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kecaman keras serta gesaan mendesak kepada Israel pada Jumaat, susulan pengesahan berlakunya kebuluran di Gaza oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Laporan IPC yang dikeluarkan pada 15 Ogos menyatakan kebuluran tahap kritikal (IPC Fasa 5) kini melanda satu daripada lima wilayah Gaza, dengan amaran ia akan merebak ke kawasan Deir al-Balah dan Khan Younis dalam beberapa minggu akan datang.
Pesuruhjaya Eropah untuk Kesamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib, menyifatkan kebuluran sebagai “realiti tragik” di Gaza.
“Kebuluran kini realiti di Gaza. Penduduk mati akibat kelaparan,” katanya di platform X, sambil memetik unjuran IPC menjelang akhir September, hampir satu per tiga daripada penduduk Gaza kira-kira 641,000 orang bakal menghadapi kebuluran.
Lahbib menyeru Israel supaya membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan secara berterusan kepada semua yang memerlukan.
Di Berlin, jurucakap Kementerian Luar Jerman, Josef Hinterseher menegaskan tiada lagi keraguan kebuluran benar-benar berlaku di Gaza, dan menggesa Israel membenarkan lebih banyak bantuan memasuki wilayah itu.
Menteri Pembangunan Jerman, Reem Alabali Radovan menyifatkan keadaan sebagai “bencana kemanusiaan yang nyata,” sambil menegaskan bahawa “kebuluran ini adalah akibat langsung tindakan manusia.”
Setiausaha Luar Britain, David Lammy pula menyifatkan kebuluran itu sebagai “amat mengerikan dan boleh dielakkan,” menyalahkan keengganan Israel membenarkan kemasukan bantuan mencukupi sebagai punca kepada “malapetaka buatan manusia ini.”
Lammy menggesa akses tanpa halangan bagi penghantaran makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bantuan kemanusiaan lain, serta mendesak gencatan senjata segera dan penamatan operasi ketenteraan Israel di Bandar Gaza, yang disifatkannya sebagai pusat krisis kebuluran.
Agensi-agensi utama PBB turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keadaan di Gaza. Dalam kenyataan bersama, FAO, WFP, UNICEF dan WHO menyebut Gaza kini “kehabisan pilihan untuk bertahan,” dan kebuluran sudah mula meragut nyawa — terutama kanak-kanak.
Ketua Pengarah FAO, Qu Dongyu berkata, kemusnahan ke atas sektor pertanian, ternakan dan perikanan mempercepatkan krisis.
“Akses kepada makanan bukan satu keistimewaan, ia adalah hak asasi manusia,” tegasnya.
Pengarah Eksekutif WFP, Cindy McCain pula berkata amaran kebuluran telah lama dikeluarkan dan kini memerlukan “lonjakan bantuan serta gencatan senjata segera” untuk menyelamatkan nyawa.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell menggambarkan penderitaan kanak-kanak di Gaza sebagai tragik, dengan “bayi mati akibat kelaparan dan penyakit yang sepatutnya boleh dicegah.”










