WASHINGTON: Rumah Putih melancarkan akaun rasmi TikTok pada Selasa, meskipun status perundangan platform milik China itu masih tidak menentu di Amerika Syarikat (AS) dan Presiden, Donald Trump terus membenarkan ia beroperasi walaupun terdapat undang-undang yang mewajibkan penjualannya.
“Kita kembali America! Apa khabar TikTok?” tulis kapsyen pada video pertama akaun tersebut, satu klip berdurasi 27 saat yang dimuat naik di aplikasi perkongsian video popular itu.
Akaun tersebut mencatat sekitar 4,500 pengikut dalam masa sejam selepas video itu dimuat naik.
Sementara itu, akaun peribadi Trump di TikTok memiliki 110.1 juta pengikut, meskipun hantaran terakhirnya adalah pada 5 November 2024 iaitu ketika Pilihan Raya Presiden AS.
TikTok dimiliki oleh syarikat teknologi China, ByteDance.
Mengikut undang-undang persekutuan, TikTok sepatutnya dijual atau diharamkan atas alasan keselamatan negara dan tarikh kuat kuasa asalnya adalah sehari sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan Presiden pada 20 Januari lalu.
Namun, Trump yang bergantung secara meluas kepada media sosial dalam kempen pemilihannya dan mengakui beliau ‘suka’ TikTok telah menangguhkan penguatkuasaan larangan itu.
Pada pertengahan Jun, Trump melanjutkan tempoh selama 90 hari lagi untuk TikTok mencari pembeli bukan dari China, atau berdepan pengharaman di AS.
Tarikh akhir baharu ini dijangka berakhir pada pertengahan September.
Walaupun sebelum ini Trump menyokong larangan atau pemisahan TikTok daripada pemilikan China, beliau telah berubah pendirian, menyatakan komitmen untuk mempertahankan platform itu setelah percaya TikTok membantunya menarik sokongan pengundi muda dalam pilihan raya November lalu.
Akaun rasmi Trump di platform X mempunyai 108.5 juta pengikut, namun saluran media sosial pilihan utamanya ialah Truth Social, yang dimilikinya sendiri, dengan 10.6 juta pengikut.
Sementara itu, akaun rasmi Rumah Putih di X dan Instagram masing-masing mempunyai 2.4 juta dan 9.3 juta pengikut. -AFP










