JAKARTA: Seorang remaja perempuan warganegara Malaysia berusia 16 tahun diselamatkan selepas rebah akibat hipotermia ketika mendaki Gunung Sagara, yang terletak di wilayah Jawa Barat, Indonesia, pada Sabtu lalu.
Menurut pihak polis tempatan, kejadian berlaku sekitar pukul 1 tengah hari waktu tempatan di Pos Empat laluan pendakian berhampiran Kampung Sagara. Remaja itu dikatakan sedang mendaki bersama beberapa rakan sebelum tiba-tiba pengsan akibat cuaca sejuk dan suhu yang rendah.
Nasib menyebelahinya apabila Ketua Unit Jenayah Khas Polis Garut, Inspektor Hadiansyah, yang kebetulan berada di laluan pendakian pada masa itu walaupun sedang bercuti, segera memberikan bantuan.
Beliau mengambil masa lebih sejam untuk membawa mangsa turun ke Pos Satu sebelum membawanya ke tapak perkhemahan utama bagi mendapatkan rawatan awal.
“Remaja tersebut kembali sedar selepas menerima rawatan kecemasan, dan seterusnya dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Garut.
Gunung Sagara yang berketinggian 2,132 meter dari paras laut merupakan antara destinasi popular bagi pendaki tempatan dan luar negara.
Susulan kejadian itu, pihak polis mengingatkan orang ramai agar memastikan tahap kesihatan mereka berada pada keadaan terbaik sebelum melakukan sebarang aktiviti pendakian. Orang awam juga dinasihatkan membawa kelengkapan serta pakaian yang sesuai untuk menghadapi keadaan cuaca tidak menentu di kawasan pergunungan.










