JAKARTA: Menjelang Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos tahun lalu, Nusantara dipenuhi dengan pelbagai aktiviti apabila pasukan pembinaan bekerja sepanjang masa untuk memastikan ibu negara baharu itu kelihatan bersedia menyambut kehadiran pegawai kanan kerajaan, tetamu kehormat asing dan wartawan.
Walaupun berdepan kekurangan tempat penginapan dan infrastruktur awam, Nusantara tetap menganjurkan upacara Hari Kemerdekaan pertamanya.
Ketika itu, ramai rakyat Indonesia menjangkakan sambutan terus diadakan di pusat pentadbiran yang terletak di Kalimantan Timur.
Namun, upacara sambutan kemerdekaan Indonesia ke-80 pada Ahad ini kembali diadakan di lokasi lama iaitu di Istana Merdeka di Jakarta.
Keputusan Presiden Prabowo Subianto untuk tidak menganjurkan sambutan di Nusantara, bersama beberapa langkah lain yang menurut pemerhati menunjukkan minat semakin pudar terhadap usaha pemindahan ibu negara, sekali gus menimbulkan keraguan tentang masa depan bandar tersebut.

Pemerhati memberi amaran mengetepikan Nusantara boleh memberi kesan negatif kepada Prabowo menjelang pilihan raya presiden 2029, termasuk mencetuskan perpecahan dengan pendahulunya, Joko Widodo atau Jokowi.
Langkah itu juga dibimbangi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap projek mega tersebut.
PERMULAAN PROJEK KONTROVERSI
Pada 2019, Jokowi mengemukakan cadangan memindahkan pusat pentadbiran Indonesia dengan alasan kesesakan lalu lintas, banjir, pencemaran udara dan penurunan paras tanah di Jakarta, menjadikan bandar itu tidak lagi sesuai sebagai ibu negara.
Beliau berkata, sebuah bandar baharu perlu dibina di Kalimantan, yang bebas daripada bencana alam dan terletak berhampiran pusat geografi negara.
Namun, projek itu gagal menambat hati rakyat dan menerima kritikan daripada pelbagai pihak sejak sebelum kerja pembinaan bermula pada 2022.
Kumpulan pencinta alam memberi amaran mengenai kerosakan kekal terhadap ekosistem hutan hujan tropika Kalimantan, manakala komuniti tempatan pula bimbang mereka akan dipindahkan atau terjejas.
Pakar turut mempersoalkan keberkesanan pelaburan berpuluh bilion dolar dalam projek yang mungkin tidak memberikan pulangan seperti yang dijanjikan.
Malah, penjawat awam di Jakarta yang sepatutnya ‘menghidupkan’ ibu negara baharu, turut dilaporkan enggan berpindah.
Tinjauan pada 2019 menunjukkan 94 peratus penjawat awam memilih meletak jawatan atau memohon bersara awal berbanding berpindah ke Nusantara.
VISI PRESIDEN PRABOWO
Indonesia meluluskan satu undang-undang pada 2022 yang menjadi asas pembinaan ibu negara baharu serta panduan mengenai cara ia harus diuruskan dan direka bentuk.
Bagaimanapun, undang-undang itu menetapkan tarikh pemindahan perlu diperincikan dalam satu dekri presiden, yang sehingga kini belum ditandatangani walaupun ramai menjangkakan ia dibuat sejurus Prabowo mengangkat sumpah jawatan pada Oktober lalu.
“Prabowo sedar projek ini kontroversi dan sokongan awam terhadapnya juga tidak begitu kuat,” kata pakar politik di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Indonesia (BRIN), Siti Zuhro, kepada CNA.
Ini bermakna, tiada tekanan besar daripada rakyat untuk presiden memindahkan ibu negara dalam masa terdekat, selain Prabowo dikatakan mempunyai agenda lain.
“Visi Prabowo adalah membina ketahanan ekonomi dari bawah. Sebab itu beliau mempunyai program seperti menubuhkan koperasi kampung dan inisiatif pengurangan kemiskinan seperti program makanan percuma,” kata Siti.
Rancangan Prabowo untuk membangunkan 80,000 koperasi di hampir setiap kawasan luar bandar seluruh negara dianggarkan menelan kos sebanyak AS$25 bilion (RM105 bilion), manakala inisiatif makanan percuma dijangka membebankan pembayar cukai sebanyak AS$7 bilion (RM29.5 bilion) setiap tahun.
PEMINDAHAN MENJELANG 2029
Kos besar program utama Prabowo menyebabkan peruntukan projek Nusantara berkurangan, dengan hanya 48.8 trilion rupiah (RM14.15 bilion) dijanjikan bagi tempoh 2025 hingga 2029 berbanding 89 trilion rupiah (RM25.8 bilion) yang disalurkan era Jokowi.
Pembiayaan turut ditangguhkan antara Januari hingga April tahun ini berikutan langkah penjimatan, sekali gus mencetuskan desakan politik termasuk daripada Parti Demokratik Nasional (NasDem) supaya kerajaan mempercepatkan dekri pemindahan atau menghentikan projek.
Beberapa rakan gabungan menggesa projek tidak dibiarkan terbengkalai, manakala NasDem mencadangkan operasi kementerian dimulakan di Nusantara bagi mempercepatkan pembangunan.
Pegawai kerajaan baru-baru ini menegaskan semula komitmen untuk memindahkan ibu negara menjelang 2029.
Walaupun kem Prabowo Subberjanji akan menandatangani dekri pemindahan ibu negara sebaik sahaja kompleks Parlimen dan bangunan mahkamah di Nusantara siap, penganalisis masih ragu sama ada langkah itu akan benar-benar dilaksanakan.
Pakar politik Adi dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah berkata, Prabowo boleh sahaja beralasan Nusantara belum bersedia dan masih memerlukan lebih banyak pembangunan.
Penganalisis turut melihat masa depan Nusantara bergantung kepada perkembangan politik.
“Adakah Nusantara benar-benar akan menjadi ibu negara baharu Indonesia atau sekadar menjadi bandar hantu? Hanya masa akan menentukan,” kata pakar politik Universiti Paramadina, Hendri Satrio.










