JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi jaminan anggota polis yang terlibat dalam insiden kematian Affan Kurniawan akan dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya terbukti melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard.
Menurut laporan CNN Indonesia, Prabowo mengarahkan siasatan dilakukan secara menyeluruh dan telus berhubung insiden tersebut.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan keterlaluan pihak keselamatan ketika mengawal demonstrasi yang bertukar ganas baru-baru ini di Jakarta.
“Saya, atas kapasiti peribadi dan sebagai wakil Kerajaan Republik Indonesia, ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Affan Kurniawan dan menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas kejadian ini.
“Saya sudah mengarahkan siasatan dijalankan secara teliti dan menyeluruh. Mana-mana anggota keselamatan yang terbukti melanggar peraturan dan bertindak di luar batas, akan dikenakan tindakan paling tegas mengikut undang-undang,” tegas Prabowo.
Demonstrasi yang pada awalnya berlangsung secara aman bertukar ganas apabila berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Para penunjuk perasaan dilaporkan melempar batu serta mercun, manakala pihak polis bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Ketegangan dilaporkan masih berlaku sehingga pagi Jumaat di beberapa kawasan di Jakarta, termasuk di markas Briged Polis Gerak Khas (BRIMOB) di Kwitang, Jakarta Pusat.
Ratusan penunggang e-hailing berhimpun di lokasi tersebut bagi menuntut keadilan berhubung kematian Affan, 21 tahun, yang dipercayai maut selepas dirempuh oleh kenderaan taktikal milik polis ketika kekecohan berlaku.










