SEVILLE: Seorang lelaki nekad membakar sebuah kafe selepas permintaannya untuk mendapatkan mayonis pada sandwic yang dipesannya ditolak pekerja premis berkenaan.
Dalam kejadian mengejutkan di kafe bar Las Postas, lelaki tersebut yang berusia 50 tahun dilapor berang apabila dua orang pekerja memberitahu kafe berkenaan tidak mempunyai dapur dan sandwic yang dijual adalah siap sedia tanpa sebarang sos.
Menurut saksi, suspek kemudiannya berjalan ke sebuah stesen minyak berdekatan untuk membeli kira-kira 1.5 liter petrol sebelum kembali ke kafe terbabit.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menyalakan api pada objek di tangannya sebelum api marak dan menjulang tinggi, menyebabkan pelanggan bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Pemilik kafe, Jose Antonio Caballero, berkata tindakan pantas pekerja yang menggunakan alat pemadam api berjaya menghalang kebakaran daripada merebak dan memusnahkan keseluruhan premis.
“Kerugian dianggarkan sekitar 7,000 pound (RM39,000), tetapi kami bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera. Pada masa kejadian, ada kanak-kanak kecil dan warga emas di dalam kafe. Bayangkan kalau ada yang tercedera,” katanya kepada media tempatan.
Caballero menyifatkan insiden itu sebagai amat mengarut dan tiada penjelasan kerana suspek tidak memberi peluang kepada pekerjanya bagi menjelaskan situasi sebelum bertindak membakar kafe tersebut.
Pihak Pengawal Awam Sepanyol mengesahkan suspek telah ditahan dan menerima rawatan di sebuah pusat kesihatan tempatan akibat melecur di tangan serta dijangka dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Lelaki itu bersama dengan dua individu lain lagi ketika kejadian, namun punca sebenar tindakannya masih dalam siasatan.
Insiden ini berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang lelaki di Bournemouth, Britain, membakar kafe milik isterinya selepas mempercayai wanita itu mempunyai hubungan sulit sehingga mengakibatkan kerugian besar dan memaksa seorang penyewa yang tinggal di tingkat atas melarikan diri menyelamatkan diri. -AGENSI











