PBB kecam Israel halang kemasukan khemah ke Gaza

PBB kecam Israel halang kemasukan khemah ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan Israel yang berbulan-bulan menghalang kemasukan khemah ke Semenanjung Gaza, meskipun penduduk awam terus menerima arahan berpindah dari kawasan yang musnah akibat perang.

Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB (OCHA), Jens Laerke berkata, barangan tempat perlindungan dihalang daripada memasuki Gaza selama kira-kira lima bulan, tempoh di mana lebih 700,000 orang telah dipindahkan atau dipindahkan semula.

“Mungkin mereka pernah diberikan sebuah khemah, kemudian terpaksa berpindah lagi dan tidak berpeluang membawa khemah itu bersama,” katanya dalam satu sidang media di Geneva.

Beliau menjelaskan, Israel mengklasifikasikan khemah sebagai barangan ‘dwi guna’ kerana tiang khemah didakwa berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Laerke turut mengecam lapisan birokrasi yang sengaja direka bukan untuk memudahkan kemasukan segera barangan, tetapi sebaliknya menghalangnya.

Awal bulan ini, Israel mengumumkan rancangan untuk mengambil alih Gaza City dan pada Sabtu lalu mengeluarkan satu lagi arahan perpindahan kepada penduduk.

Namun, Laerke menegaskan khemah masih tidak dibenarkan masuk ke wilayah itu.

Sementara itu, OCHA memberi amaran rancangan pengambilalihan Gaza City oleh Israel membawa risiko besar terhadap orang awam.

“Terdapat risiko perpindahan besar-besaran, lebih banyak kematian dan penderitaan yang semakin bertambah,” kata jurucakap, Thameen Al-Kheetan.

Beliau berkata, Israel memaksa rakyat Palestin berpindah ke kawasan yang masih diserang.

Menurut Kheetan, ratusan ribu orang diarahkan bergerak ke selatan khususnya ke Al-Mawasi, namun kawasan itu juga masih dibom.

Katanya lagi, penduduk Palestin di Al-Mawasi kini tidak lagi mempunyai akses kepada perkhidmatan dan bekalan penting, termasuk makanan, air, elektrik dan khemah.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN