Myanmar tumpas cubaan seludup 17 juta pil perangsang ke Malaysia - Utusan Malaysia

Myanmar tumpas cubaan seludup 17 juta pil perangsang ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Myanmar menumpaskan satu rangkaian penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai merancang menghantar 17 juta pil perangsang ke Malaysia melalui laluan laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi AS$10 juta (RM40 juta).

Menurut Bahagian Penguatkuasaan Dadah Myanmar, operasi berskala besar yang dijalankan selama sebulan itu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dan menyaksikan 13 suspek utama ditahan, sembilan lagi suspek masih bebas dengan rampasan termasuk 1.29 tan methamphetamine dan 1.87 tan ketamin

Laporan daripada The Global New Light of Myanmar mendedahkan sindiket menggunakan mod operasi kompleks termasuk bot laut, ladang udang sebagai lokasi penyamaran, kenderaan pacuan empat roda berkuasa tinggi serta lintasan sempadan darat dan laut

Pihak berkuasa memaklumkan suspek terlibat telah beberapa kali menghantar dadah dari Yangon ke perairan Malaysia dan dari Kawthaung ke Selat Melaka.

“Mereka diarahkan menghantar ‘ice’ (methamphetamine) dari Yangon ke Malaysia melalui laut,” kata jurucakap penguatkuasaan dadah Myanmar.

Walau bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti terlibat dalam operasi terbaru ini setakat ini.

Kawasan pesisir barat Rakhine, yang kini bergolak akibat perang saudara, serta Kawthaung, yang bersempadan dengan Thailand, dikenal pasti sebagai lokasi utama kegiatan sindiket.

Sementara itu, agensi berita Antara (Indonesia) melaporkan Badan Narkotik Nasional (BNN) memperkukuh kerjasama dengan Myanmar untuk membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan.

“Myanmar dikenali sebagai salah satu pengeluar utama dadah berskala besar di Asia Tenggara,” kata Ketua BNN, Marthinus Hukom.

Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) turut memberi amaran bahawa sejak 2021, pengeluaran dan pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara meningkat dengan ketara.

Menurut Inshik Sim, Penganalisis Utama UNODC, laluan penyeludupan baharu terus berkembang, mengelak penguatkuasaan, selain koridor maritim yang menghubungkan Malaysia, Indonesia dan Filipina kini menjadi laluan penting

Katanya, Sabah juga dikenalpasti sebagai hab transit utama sindiket dadah antarabangsa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN