Menteri Zionis gesa penduduk Gaza 'dibiarkan mati kebuluran' - Utusan Malaysia

Menteri Zionis gesa penduduk Gaza ‘dibiarkan mati kebuluran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Beberapa menteri pelampau kanan Israel secara terbuka menggesa supaya penduduk Gaza dibiarkan mati kebuluran ketika mesyuarat Kabinet, sekaligus mencetuskan pertikaman lidah dengan Ketua Turus Tentera, Eyal Zamir, berhubung strategi perang rejim tersebut.

Pertemuan yang berlangsung lewat Sabtu lalu membincangkan operasi besar-besaran baharu, Operation Gideon’s Chariots 2, yang turut merangkumi rancangan pemindahan beramai-ramai di Bandar Gaza.

Menurut laporan media tempatan yang dipetik agensi Anadolu semalam, Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, mendesak langkah lebih keras terhadap penduduk Palestin yang enggan meninggalkan kawasan kediaman mereka.

“Kita sudah arahkan operasi pantas. Bagi saya, kamu boleh kepung mereka. Siapa yang enggan keluar, jangan beri air, jangan beri elektrik – biarkan mereka mati kelaparan atau menyerah diri. Itu yang kami mahu, dan kamu mampu lakukannya,” kata Smotrich sebagaimana dipetik saluran Channel 12.

Namun, Zamir menolak cadangan itu sambil menegaskan tindakan terburu-buru adalah tidak realistik secara ketenteraan dan memerlukan perancangan lebih teliti.

“Kami juga sedang beroperasi di kawasan lain, di Khan Younis dan Rafah,” katanya sambil menjelaskan realiti medan perang memerlukan masa dan perancangan rapi.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, menuduh Zamir ragu-ragu melaksanakan arahan politik dan bertanya sama ada beliau takut dengan penasihat undang-undang tentera.

Smotrich pula menambah tekanan dengan menuduh Ketua Turus Tentera tersebut menghalang arahan Kabinet manakala Zamir membalas dengan keras mendakwa Smotrich dan Ben Gvir tidak faham apa-apa tentang tentera.

Laporan Channel 12 turut menyebut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, serta menteri kanan lain seperti Israel Katz dan Ron Dermer hanya berdiam diri, sambil merujuk kepada tekanan semakin memuncak daripada Amerika Syarikat (AS) agar Tel Aviv segera mencari penyelesaian.

Mesyuarat Kabinet dijadual bersambung Selasa ini bagi membincangkan operasi di Gaza serta rundingan pertukaran tahanan, menurut laporan Times of Israel.

Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 62,600 penduduk Gaza dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu, yang kini berdepan ancaman kebuluran.

Israel juga sedang berdepan kes jenayah pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN