NEW DELHI: Mahkamah Agung India semalam menarik balik keputusan terdahulu yang mengarahkan semua anjing liar di sekitar ibu negara Delhi ditangkap dan ditempatkan di pusat perlindungan, sekali gus memberi kelegaan kepada kumpulan pencinta haiwan.
Awal bulan ini, mahkamah sama memutuskan semua anjing liar yang ditangkap perlu disteril dan divaksin sebelum ditempatkan kekal di pusat jagaan, bagi mengurangkan serangan anjing serta risiko penyakit rabies yang masih berleluasa di negara itu.
Bagaimanapun, langkah tersebut menerima kritikan kerana dianggap tidak realistik dan terlalu membebankan kerajaan tempatan.
Dalam keputusan baharu semalam, mahkamah mengarahkan pendekatan lebih menyeluruh dilaksanakan di seluruh India.
Semua anjing liar perlu disteril, divaksin, diberi ubat cacing dan dikembalikan ke kawasan asal, manakala hanya anjing yang agresif atau disahkan menghidap rabies ditempatkan di pusat perlindungan.
Pertubuhan perlindungan haiwan, PETA India, menyifatkan keputusan tersebut sebagai kemenangan besar.
“Hari ini adalah hari untuk anjing komuniti India. Keputusan ini membuktikan majoriti rakyat menganggap mereka sebagai jiran dan sahabat,” kata jurucakapnya.
Mahkamah juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan mewujudkan kawasan khusus untuk memberi makan anjing liar dengan lebih teratur dan selamat namun, langkah ini dipersoalkan sesetengah pihak kerana dibimbangi mencetuskan pergaduhan sesama anjing serta memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Di ibu kota India itu, anjing campuran tempatan atau lebih dikenali sebagai “indies” dilihat sebati dengan kehidupan masyarakat dan sering dilihat berehat di kaki lima, berkeliaran di lorong sempit atau menunggu makanan di gerai teh.
Bagaimanapun, cabaran kesihatan awam kekal membimbangkan kerana data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan India mencatat sepertiga daripada jumlah kematian akibat rabies di dunia, kira-kira 20,000 kes setahun.
Meskipun begitu, Delhi mencatat sifar kematian akibat rabies antara Januari 2022 hingga Januari lalu manakala kes gigitan anjing juga menurun daripada 17,874 kes pada 2023 kepada 6,691 kes pada 2024. -AGENSI










