Lapisan ais Antartika boleh runtuh bila-bila masa, ratusan bandar bakal tenggelam

Lapisan ais Antartika boleh runtuh bila-bila masa, ratusan bandar bakal tenggelam

JIKA keruntuhan berlaku, paras laut dunia dijangka meningkat sehingga tiga meter, mengakibatkan ratusan bandar dan penempatan pesisir pantai di seluruh dunia tenggelam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lapisan ais Antartika Barat, satu daripada bongkah ais terbesar dunia yang meliputi kawasan seluas 760,000 batu persegi, kini di ambang keruntuhan.

Kajian yang dilakukan penyelidik Universiti Nasional Australia (ANU) itu mendapati peningkatan paras karbon dioksida global melemahkan struktur ais berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko ia runtuh sepenuhnya.

Sekiranya keruntuhan berlaku, paras laut dunia dijangka meningkat sehingga tiga meter, mengakibatkan ratusan bandar dan penempatan pesisir pantai di seluruh dunia ditenggelami air.

“Perubahan pantas sudah pun dikesan di Antartika melibatkan ais, lautan dan ekosistem, dan keadaan ini dijangka bertambah buruk setiap kali suhu global meningkat,” kata Dr. Nerilie Abram, ketua penyelidik kajian tersebut.

Beliau turut memberi amaran kehilangan ais laut di kawasan berkenaan akan menyebabkan rak ais terapung lebih mudah runtuh, sekali gus mempercepatkan proses kemusnahan lapisan ais utama Antartika.

Hasil simulasi menggunakan alat pemeriksaan risiko pantai oleh Climate Central mendapati kenaikan paras laut setinggi tiga meter bakal menenggelamkan ratusan kawasan pesisir pantai di seluruh dunia.

Di Eropah, garis pantai dari Calais hingga selatan Denmark dijangka tenggelam, manakala Venice akan terus berdepan ancaman banjir kekal.

Di Amerika Syarikat (AS), bandar utama termasuk New Orleans di Louisiana, Galveston di Texas serta kawasan paya Everglades di Florida dijangka musnah akibat kenaikan paras laut.

Kajian itu turut menggesa kerajaan dunia untuk mempercepatkan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau demi mengelak bencana yang lebih parah.

“Satu-satunya cara mengelak perubahan drastik ini adalah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan pantas, agar pemanasan global dapat dihadkan sedekat mungkin kepada 1.5 darjah Celsius,” tegas Dr. Abram.

Katanya, kerajaan, sektor perniagaan dan komuniti dunia perlu memasukkan faktor risiko perubahan mendadak di Antartika ke dalam perancangan masa depan dalam menghadapi kesan perubahan iklim yang semakin ketara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN