Krisis libatkan etnik Rohingya kian meruncing - PBB - Utusan Malaysia

Krisis libatkan etnik Rohingya kian meruncing – PBB

PELARIAN Rohingya terkandas di atas bot selepas masyarakat berhampiran tidak membenarkan mereka mendarat di Pineung, wilayah Aceh pada 16 November 2023.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Lapan tahun selepas pengusiran besar-besaran masyarakat Rohingya dari negeri Rakhine, Myanmar, keadaan mereka dilaporkan semakin buruk, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata keganasan yang berterusan memaksa lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran, terutamanya ke Bangladesh yang kini menempatkan lebih 1.1 juta pelarian.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan berhubung tindakan pengusiran dan penghantaran balik secara paksa, yang berpotensi melanggar prinsip non-refoulement – satu prinsip asas dalam undang-undang pelarian antarabangsa.

“Kekurangan dana terus memburukkan lagi keadaan, menjejaskan akses kepada pendidikan, makanan, penjagaan kesihatan, sumber pendapatan dan perlindungan,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan agensi berita Anadolu Ajansi (AA), Jumaat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menurut Dujarric, sekali lagi menggesa perlindungan untuk semua orang awam sejajar dengan undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa.

Guterres, yang pernah melawat kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh awal tahun ini, turut menyeru sokongan antarabangsa terhadap masyarakat Rohingya dipertingkatkan, disertai penyelesaian politik menyeluruh yang melibatkan mereka secara langsung.

Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Rohingya dan minoriti lain dijadual berlangsung pada 30 September di New York di bawah mandat Perhimpunan Agung PBB. Guterres berharap ia akan menjadi platform untuk mengembalikan perhatian global terhadap krisis yang berlarutan ini.

Dujarric menambah, utusan khas PBB ke Myanmar sedang berusaha melibatkan semua pihak bagi menghentikan keganasan dan merintis jalan ke arah proses politik yang diketuai Myanmar, dengan matlamat membolehkan kepulangan masyarakat Rohingya secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN