WASHINGTON: Kes pertama parasit pemakan daging manusia (screwworm) dikenal pasti di Amerika Syarikat (AS), melibatkan seorang individu di Maryland yang baru pulang dari Guatemala, menurut sumber.
Pesakit tersebut menerima rawatan di Maryland dan disahkan sebagai kes pertama jangkitan larva New World screwworm dalam kalangan manusia di AS sejak wabak parasit itu mula merebak dari Amerika Tengah dan selatan Mexico ke arah utara pada akhir tahun lalu.
Larva ini terkenal sebagai parasit yang menyerang lembu serta haiwan berdarah panas dengan memakan tisu hidup dan mampu membawa maut jika tidak dirawat.
Dr. Beth Thompson, pakar veterinar negeri Dakota Selatan, memberitahu Reuters pada Ahad bahawa beliau dimaklumkan mengenai kes tersebut dalam tempoh seminggu lalu oleh seorang individu yang mempunyai maklumat langsung mengenai kejadian di Maryland.
Seorang lagi sumber yang enggan dikenali mendedahkan bahawa mereka telah melihat emel yang dihantar oleh seorang eksekutif dalam kumpulan industri Beef Alliance pada 20 Ogos kepada kira-kira dua dozen pemain industri ternakan dan daging lembu.
Emel itu memaklumkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesahkan kes jangkitan larva screwworm dalam seorang individu di Maryland yang mempunyai sejarah perjalanan ke Guatemala.
Menurut satu lagi sumber, pakar veterinar negeri dimaklumkan mengenai kes ini dalam satu panggilan bersama CDC minggu lalu. Bagaimanapun, CDC menyerahkan semula kes itu kepada pihak negeri Maryland .
“Kami mendapat tahu melalui saluran lain dan terpaksa mendapatkan pengesahan daripada CDC tentang apa yang sebenarnya berlaku. CDC tidak begitu telus mengenai apa berlaku,” kata Thompson. – AGENSI









