PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja secara rasmi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu membebaskan 20 anggotanya yang masih ditahan oleh tentera Thailand, susulan konflik bersenjata yang berlaku di sempadan kedua-dua negara.
Menurut agensi berita rasmi Agence Kampuchea Presse (AKP), permintaan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang turut mengesahkan rundingan giat dijalankan antara pegawai kanan ketenteraan Kemboja dan pihak tentera Thailand.
Malaysia, menerusi ATM, kini memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemerhati pelaksanaan gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua negara pada 28 Julai lalu dalam mesyuarat khas anjuran Malaysia di Putrajaya.
“Saya amat berharap pihak tentera Thailand dapat membebaskan semua anggota kami secepat mungkin dan membolehkan mereka kembali ke tanah air dalam keadaan selamat,” kata Hun Manet dalam kenyataan yang dipetik oleh AKP.
Permohonan rasmi juga sudah dikemukakan oleh Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja, Jeneral Vong Pisen, kepada Malaysia bagi membantu usaha pembebasan tersebut, khususnya menerusi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang kini mengetuai pasukan pemantau gencatan senjata di lapangan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, memaklumkan bahawa Thailand sudah menyerahkan mayat seorang daripada 21 anggota tentera Kemboja yang berada dalam kawalannya.
“Setakat ini, kami hanya menerima satu mayat, dan baki 20 anggota lagi masih berada dalam tahanan tentera Thailand.
“Kami berusaha keras untuk memastikan kesemuanya dibawa pulang dengan selamat,” katanya kepada media tempatan.
Konflik singkat antara Kemboja dan Thailand meletus baru-baru ini susulan pertikaian kawasan sempadan yang berlarutan, sebelum satu persetujuan gencatan senjata dicapai hasil inisiatif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Pertempuran kedua-dua negara menyaksikan lebih 40 orang maut termasuk anggota tentera dan penduduk awam di kawasan sempadan.










