Kebuluran Gaza bukan kerana kekurangan makanan, tetapi kegagalan salur bantuan – UNICEF - Utusan Malaysia

Kebuluran Gaza bukan kerana kekurangan makanan, tetapi kegagalan salur bantuan – UNICEF

SEORANG kanak-kanak Palestin menjamah nasi yang dimasak dengan jarinya selepas menerima hidangan dari dapur amal di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Krisis kebuluran di Gaza berpunca daripada kegagalan menyampaikan bantuan kemanusiaan, bukan kerana kekurangan makanan, kata Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell.

“Kanak-kanak sudah berbulan-bulan hidup tanpa makanan yang mencukupi. Kita menyaksikan situasi yang amat mengerikan, dengan mereka berada di ambang kebuluran dan akhirnya mati kerana kebuluran,” kata Russell kepada CBS.

Beliau menegaskan krisis ini boleh dielakkan kerana makanan sebenarnya wujud di kawasan berhampiran, namun tidak sampai kepada penduduk yang memerlukan.

“Ini tidak berlaku kerana taufan atau kemarau. Ia berlaku kerana kita tidak dapat menyalurkan bantuan mencukupi kepada kanak-kanak ini,” katanya.

Mengulas dakwaan kerajaan Israel yang menafikan wujudnya kebuluran, Russell mempertahankan penilaian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sambil menjelaskan laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang mengesahkan kebuluran di Gaza utara dibuat oleh pakar bebas berdasarkan tahap kekurangan makanan, kadar malnutrisi dan kematian akibat kebuluran.

“Kita tahu kanak-kanak sedang mati, betul? Saya sudah letih dengan perdebatan sama ada maklumat yang kita berikan tepat atau tidak,” ujar Russell, sambil menggesa akses media antarabangsa diberikan ke Gaza untuk mengesahkan keadaan sebenar.

Russell turut mengkritik mekanisme Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang diperkenalkan Israel sejak Mei, menggantikan sistem PBB dan badan bantuan utama. Sebelum ini PBB mengendalikan 400 pusat pengagihan bantuan, manakala GHF hanya menguruskan empat lokasi.

“Biarkan kami lakukan kerja kami. Kami tahu bagaimana untuk agihkan bantuan ini,” katanya.

Pada Mac lalu, Israel menutup semua lintasan masuk ke Gaza, sekali gus menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan. Mekanisme GHF yang beroperasi selepas itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, telah mengakibatkan lebih 2,000 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 15,000 cedera ketika menunggu bantuan.

Jumaat lalu, IPC mengesahkan kebuluran kini berlaku di Gaza utara dan dijangka merebak lebih jauh ke selatan menjelang akhir September.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, serangan Israel telah meragut lebih 62,600 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan hampir keseluruhan wilayah Gaza sehingga dianggap tidak lagi sesuai untuk didiami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×