Jutawan rancang satu lagi ekspedisi ke tapak bangkai Titanic - Utusan Malaysia

Jutawan rancang satu lagi ekspedisi ke tapak bangkai Titanic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Selepas tragedi ngeri OceanGate pada 2023, ramai menyangka bangkai kapal Titanic akan terus dibiarkan aman di dasar Lautan Atlantik.

Namun, laporan terbaharu mendedahkan seorang jutawan terkenal merancang ekspedisi rahsia ke tapak bersejarah itu dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Sumber industri memberitahu New York Post, individu berprofil tinggi itu bersedia membelanjakan AS$10 juta (RM42 juta) untuk menyelam sedalam 3.8 kilometer ke lokasi kapal yang tenggelam pada 1912 itu.

“Nama beliau sangat dikenali. Beliau mahu menjadi orang pertama menjejakkan kaki ke Titanic sejak tragedi OceanGate,” kata sumber berkenaan.

Spekulasi di media sosial menyenaraikan beberapa tokoh ternama sebagai calon, termasuk pengasas Tesla Elon Musk, pengasas Amazon Jeff Bezos dan ahli perniagaan Amerika Syarikat Larry Connor.

Ekspedisi ini bakal menjadi penyelaman pertama ke tapak Titanic sejak tragedi yang meragut lima nyawa, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush, apabila kapal selam mini Titan meletup ketika dalam misi ke dasar laut pada Jun 2023.

Kapal berkenaan, yang beroperasi untuk pelancongan mewah, mengenakan bayaran sehingga AS$250,000 (RM1 juta) seorang untuk ke lokasi Titanic sejak 2021.

Siasatan mendapati badan utama Titan yang diperbuat daripada gentian kaca, bukannya titanium seperti kapal selam lain, gagal menahan tekanan laut dalam, sekali gus menyebabkan letupan serta-merta kurang dua jam selepas ia menyelam.

Laporan turut mendedahkan kapal selam itu dikendalikan menggunakan alat kawalan yang menyerupai pengawal permainan video, sekali gus mencetuskan kritikan hebat terhadap standard keselamatan syarikat berkenaan.

Antara jutawan yang diketahui memiliki kapal selam peribadi termasuk jutawan Wall Street Ray Dalio dan taikun Rusia Roman Abramovich, sekali gus menambah teka-teki mengenai siapakah yang bakal mencatat sejarah sebagai penyelam pertama ke Titanic selepas tragedi OceanGate. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN