YANGON: Junta Myanmar mengumumkan tenteranya berjaya menawan sebuah bandar strategik di timur negara itu, sekali gus merampas semula wilayah yang dikuasai pemberontak ketika ia bersiap sedia menganjurkan pilihan raya kontroversi pada Disember.
Junta merancang untuk mengadakan pilihan raya di kawasan di bawah kawalannya bermula 28 Disember dan sejak beberapa bulan lalu melancarkan siri serangan balas bagi memperluas pegangan wilayahnya.
Akhbar pro-kerajaan, Global New Light of Myanmar melaporkan, tentera berjaya menawan kawasan perbandaran Demoso, merangkumi bandar serta kampung sekitarnya selepas pertempuran selama 16 hari yang berakhir Selasa lalu.
Menurut laporan itu, enam mayat ditemui selepas pasukan gerila pro-demokrasi dan pejuang etnik tempatan berundur dari kawasan tersebut.
“Beberapa anggota pasukan keselamatan turut terkorban dan cedera,” tambah laporan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Satu gambar yang disiarkan menunjukkan tentera junta mengangkat senjata di hadapan papan tanda bertulis ‘Anda dialu-alukan ke Demoso’.
Lebih 130,000 orang kini hidup dalam keadaan pelarian di Kayah berhampiran Demoso yang terletak di persimpangan dua lebuh raya daripada laluan utama menghubungkan Naypyidaw dengan pusat komersial Yangon.
Pemantau antarabangsa mengecam pilihan raya yang bakal diadakan sebagai taktik untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera dan memberi amaran tempoh terdekat bakal menyaksikan peningkatan keganasan ketika pemberontak berusaha mempertahankan wilayah dikuasai mereka.
Pilihan raya yang dianjurkan junta itu akan dijalankan secara berperingkat dan sejumlah 55 parti politik dilaporkan sudah mendaftar untuk menyertainya dengan sembilan daripadanya dijangka bertanding di seluruh negara.-AFP










