LONDON: Saintis memberi amaran bumi sudah memasuki fasa iklim baharu dengan kemunculan dua musim tambahan yang berulang setiap tahun dikenali sebagai musim jerebu dan musim sampah.
Penemuan ini mengubah pemahaman terhadap kitaran musim tahunan dan menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan awam, kehidupan marin serta ekosistem global.
Menurut penyelidik, kedua-dua musim ini berpunca sepenuhnya daripada aktiviti manusia dan semakin jelas kelihatan dalam corak iklim tahunan.
Di Asia Tenggara, musim jerebu kini berlaku setiap tahun, khususnya antara Jun hingga September.
Asap tebal menyelubungi rantau ini menjadikan kualiti udara berbahaya dan mengancam kesihatan berjuta-juta penduduk.
Kebanyakan jerebu ini berpunca daripada pembakaran terbuka secara besar-besaran antaranya kaedah pembersihan tanah untuk pertanian, terutamanya di Malaysia dan Indonesia.
Asap ini juga merentas sempadan, menjejaskan bandar-bandar besar seperti Singapura dan Bangkok, serta kawasan lain di rantau ini.
“Pembakaran tanah gambut tropika secara meluas di Malaysia dan Indonesia kini dianggap sebagai kejadian tahunan di Asia Tenggara khatulistiwa,” menurut satu kajian yang diketuai oleh London School of Economics and Political Science.
Sementara itu, di Bali dan beberapa kawasan lain, musim sampah berlaku antara Disember hingga Mac.
Ketika musim monsun melanda, arus lautan membawa timbunan sisa plastik ke daratan, menimbun di pantai-pantai yang dahulunya menjadi tarikan pelancong.
Musim ini menjadi konsisten sehingga penduduk tempatan boleh menjangkanya secara tetap setiap tahun.
Fenomena serupa juga dilaporkan di Filipina, Thailand, dan sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat (AS), termasuk Florida dan Carolina apabila arus seperti Gulf Stream menolak sisa terapung ke kawasan pesisir.
Mereka turut memperkenalkan istilah baharu bagi menggambarkan pola iklim yang berubah, termasuk ‘musim pupus’, ‘musim tak berirama’, dan ‘musim sinkopatik’.










