Israel umum kata putus rancangan gencatan senjata Gaza Jumaat ini

Israel umum kata putus rancangan gencatan senjata Gaza Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel menyatakan akan menyampaikan respons kepada para pengantara antarabangsa menjelang Jumaat berhubung cadangan gencatan senjata baharu di Gaza yang sudah diterima oleh Hamas.

Selepas protes besar-besaran di Israel yang menuntut perjanjian bagi membebaskan baki 20 tebusan Israel yang masih hidup di Gaza, dilihat Hamas sudah mengurangkan tuntutannya berhubung pertukaran banduan dan tebusan serta skop zon penampan keselamatan yang dituntut rejim itu.

Pegawai Israel memaklumkan, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan tersebut dalam beberapa hari akan datang.

Seorang pegawai kanan Israel pada Selasa menegaskan, kerajaan tetap berpendirian tegas untuk menuntut pembebasan semua tebusan dalam sebarang perjanjian masa depan berkaitan Gaza, selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata baharu itu.

Para pengantara kini menunggu maklum balas rasmi dari Israel terhadap pelan tersebut, sehari selepas Hamas memberi isyarat kesediaan untuk memulakan rundingan baharu yang bertujuan menamatkan perang yang sudah berlarutan hampir dua tahun.

Qatar, selaku pengantara menyatakan harapan secara berhati-hati terhadap cadangan terbaharu itu memandangkan ia hampir sama dengan versi terdahulu yang pernah dipersetujui oleh pihak Israel.

Kedua-dua pihak sudah beberapa kali mengadakan rundingan tidak langsung sepanjang konflik ini yang hanya menghasilkan dua gencatan senjata sementara, di mana beberapa tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.

Namun, rundingan-rundingan itu gagal mencapai satu perjanjian damai yang berkekalan.

Mesir dan Qatar dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam siri diplomasi tidak berkesudahan ini.

Pada Isnin, Mesir menyatakan pihaknya bersama Qatar sudah menyerahkan cadangan baharu kepada Israel, dan menegaskan kini keputusan berada di tangan rejim Zionis itu.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, pada Selasa berkata, Hamas memberikan maklum balas yang sangat positif, dan ia benar-benar hampir sama dengan apa yang pernah dipersetujui oleh pihak Israel sebelum ini.

“Kami tidak boleh mendakwa satu kejayaan telah dicapai. Tetapi kami percaya ini adalah satu petanda yang positif,” tambahnya.

Menurut laporan saluran berita berkaitan kerajaan Mesir, Al-Qahera News, cadangan terkini termasuk satu gencatan senjata selama 60 hari pada peringkat awal, pembebasan sebahagian tebusan, pembebasan beberapa tahanan Palestin serta membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih belum mengulas secara terbuka mengenai pelan tersebut.

Namun minggu lalu, beliau berkata, Israel hanya akan menerima satu perjanjian di mana semua tebusan dibebaskan sekali gus dan mengikut syarat-syarat rejim itu bagi menamatkan perang.

Pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, pula menulis di media sosial, menegaskan pihaknya telah membuka pintu seluas-luasnya ke arah mencapai perjanjian, namun persoalannya kini adakah Netanyahu sekali lagi akan menutupnya seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Penerimaan cadangan ini oleh Hamas hadir ketika Netanyahu terus berdepan tekanan yang semakin meningkat dari dalam dan luar negara untuk menamatkan perang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN