MOROWALI UTARA: Seorang imam masjid cedera parah selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika memimpin solat Subuh berjemaah di Masjid Baiturrahman, Desa Tompira, Kecamatan Petasia Timur, Sulawesi Tengah awal pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Jumali, 27 tahun, diserang oleh seorang lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai AL, yang berpura-pura menjadi jemaah.
Ketua Bahagian Operasi Polis Morowali Utara, Theodorus Resupal berkata, suspek menyertai saf jemaah sebelum secara tiba-tiba keluar dari barisan dan menikam mangsa di bahagian perut ketika beliau sedang rukuk.
“Jemaah yang berada di belakang segera bertindak menahan suspek dan memukulnya sebelum pihak polis tiba di lokasi kejadian,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Krisna Bunta untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Umum Daerah Kolonodale bagi rawatan lanjut.
Hasil ujian awal mendapati suspek positif dadah, dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar serangan.
Pihak polis turut merampas sebilah pisau jenis badik yang digunakan dalam kejadian, sebuah telefon bimbit serta rakaman CCTV dari masjid sebagai bahan bukti.
Kes disiasat di bawah Pasal 351 Kanun Keseksaan Indonesia yang berkaitan dengan kesalahan mencederakan orang lain.










