LONDON: Misteri besar tentang bagaimana bongkah batu seberat lebih tiga tan dipindahkan ke tapak bersejarah, Stonehenge kini semakin hampir terjawab susulan penemuan melibatkan rahang seekor lembu berusia 5,000 tahun.
Penemuan itu mendedahkan kemungkinan lembu digunakan untuk mengangkut bongkah batu biru dari Wales ke tapak bersejarah tersebut di Salisbury, England.
Rahang lembu berkenaan ditemui oleh ahli arkeologi pada tahun 1924 di pintu masuk selatan Stonehenge, namun hanya kini penyelidikan moden berjaya mendedahkan kisah di sebalik haiwan itu.
Analisis isotop terhadap gigi lembu yang dilakukan oleh sekumpulan saintis dari Universiti Cardiff, University College London dan British Geological Survey membuktikan haiwan berkenaan berasal dari kawasan berbatu Paleozoik di Wales, iaitu lokasi sama asal batu biru Stonehenge.
“Sepotong gigi seekor lembu menceritakan kisah yang luar biasa dan dengan teknologi baharu, kita percaya lebih banyak rahsia tentang perjalanan panjang haiwan ini akan terungkai,” kata Profesor Jane Evans dari British Geological Survey.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Archaeological Science itu juga mengesahkan lembu tersebut adalah betina, dipercayai bunting ketika dibawa ke tapak berkenaan.
Penyelidikan terbaharu ini mengukuhkan teori masyarakat Neolitik menggunakan haiwan untuk mengangkut batu berat dari jarak ratusan kilometer.
Semua batu Stonehenge dibawa dari jarak jauh dengan batu sarsen, yang lebih besar dan setinggi tujuh meter dengan berat melebihi 20 tan, dibawa dari West Woods, Wiltshire, sejauh 32 kilometer manakala batu biru seberat 3.5 tan dipindahkan dari Wales sejauh lebih 200 kilometer.










