MADRID: Sepanyol mengalami gelombang haba paling teruk pernah direkodkan bulan ini, menurut Agensi Meteorologi Negara (AEMET), ketika pasukan bomba berusaha memadam kebakaran hutan di utara dan barat negara itu.
Dalam kenyataan pada Ahad, AEMET memaklumkan bacaan awal bagi tempoh gelombang haba 3 hingga 18 Ogos melepasi rekod terdahulu yang dicatat pada Julai 2022, dengan suhu purata meningkat 4.6 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras kebiasaan.
Gelombang haba terbaru ini menyaksikan suhu mencecah 43 darjah Celsius, sebahagian daripada corak peningkatan musim panas yang semakin panas akibat krisis iklim.
“Empat daripada lima gelombang haba paling teruk berlaku sejak 2019 bukanlah suatu kebetulan. Walaupun tidak semua musim panas akan lebih panas daripada sebelumnya, trend ke arah musim panas yang lebih ekstrem jelas kelihatan. Kuncinya adaptasi dan mitigasi perubahan iklim,” kata agensi itu.
Sejak merekodkan data pada 1975, AEMET telah mengesan 77 gelombang haba di Sepanyol, dengan enam daripadanya mencatat peningkatan 4 darjah Celsius atau lebih melepasi purata.
Institut Kesihatan Carlos III pada Selasa menganggarkan lebih 1,100 kematian di Sepanyol dikaitkan dengan gelombang haba Ogos tahun ini. Keadaan panas melampau itu turut memperburuk risiko kebakaran, sekali gus memarakkan api yang kini masih memusnahkan sebahagian kawasan negara berkenaan.
Minggu lalu, tentera Sepanyol mengerahkan 3,400 anggota dan 50 pesawat membantu operasi memadam kebakaran, manakala Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, Belanda dan Slovakia turut menghantar ratusan anggota bomba, kenderaan serta pesawat.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), lebih 382,000 hektar atau kira-kira 3,820 kilometer persegi kawasan hutan telah musnah terbakar. Kebanyakan kawasan Eropah Selatan kini mengalami musim kebakaran paling buruk dalam tempoh dua dekad.
Data Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah menunjukkan benua Eropah semakin panas dua kali ganda lebih pantas berbanding purata global sejak 1980-an.
Fenomena gelombang haba dan cuaca kering yang sering dikaitkan dengan perubahan iklim kini semakin kerap berlaku di seluruh dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa perubahan iklim yang membawa kepada suhu lebih panas serta keadaan kering, selain urbanisasi pesat di kawasan luar bandar, telah menyebabkan musim kebakaran bermula lebih awal dan berakhir lebih lewat.
“Insiden kebakaran hutan semakin ekstrem dari segi keluasan terbakar, tempoh dan intensiti, dan ia berpotensi mengganggu sistem pengangkutan, komunikasi, bekalan air, elektrik serta gas,” menurut WHO.










