PHNOM PENH: Ahli-ahli Parlimen Kemboja meluluskan satu rang undang-undang (RUU) yang membolehkan kewarganegaraan dilucutkan terhadap individu yang bersekongkol dengan negara asing sehingga boleh menjejaskan kepentingan negara.
Tindakan itu dibimbangi kumpulan hak asasi akan digunakan untuk menyingkirkan pihak yang tidak sehaluan.
Semua 120 ahli Parlimen yang hadir dalam sesi Dewan Negara, termasuk Perdana Menteri Hun Manet, sebulat suara meluluskan rang undang-undang tersebut.
Pemerhati hak asasi sejak sekian lama menuduh kerajaan Kemboja menggunakan undang-undang keras untuk menyekat pembangkang dan menyekat perdebatan politik yang sah.
Gabungan 50 kumpulan hak asasi mengeluarkan kenyataan pada Ahad yang memberi amaran RUU itu akan ‘memberi kesan yang sangat menakutkan terhadap kebebasan bersuara semua rakyat Kemboja’.
“Kemungkinan penyalahgunaan dalam pelaksanaan undang-undang yang samar-samar ini untuk menyasarkan individu berdasarkan etnik, pendapat politik, ucapan, dan aktivisme mereka adalah terlalu tinggi untuk diterima.
“Kerajaan memang memiliki banyak kuasa, tetapi mereka tidak sepatutnya mempunyai kuasa untuk menentukan sewenang-wenangnya siapa yang layak atau tidak menjadi warganegara Kemboja,” menurut kenyataan itu.
RUU ini masih perlu diluluskan oleh Dewan Negara sebelum diwartakan oleh ketua negara, namun kedua-dua peringkat tersebut dilihat sekadar formaliti.
Hak mutlak untuk mendapat kewarganegaraan sebelum ini termaktub dalam perlembagaan Kemboja, namun bulan lalu Perlembagaan dipinda untuk menyatakan ‘penerimaan, kehilangan dan penarikan balik kewarganegaraan Khmer akan ditentukan melalui undang-undang.’
“Jika anda mengkhianati negara, negara tidak akan menyimpan anda,” kata Menteri Kehakiman, Koeut Rith kepada pemberita selepas pindaan itu diluluskan.
Bulan lalu, Amnesty International menyifatkan RUU itu sebagai ‘pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa’.










