Cukai rendah dan tiada birokrasi, Dubai jadi tarikan 10,000 jutawan

Cukai rendah dan tiada birokrasi, Dubai jadi tarikan 10,000 jutawan

SEBUAH kapal layar dirakam di Marina Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Golongan kaya semakin berpusu-pusu ke Dubai dengan tahun ini merekodkan kemasukan tertinggi selepas ramai tertarik dengan dasar sifar cukai pendapatan dan gaya hidup mewah yang kian sukar dinikmati di negara lain.

Emiriah Arab Bersatu (UAE), khususnya Dubai, sejak sekian lama menjadi destinasi pilihan golongan ‘kayangan’ dari negara jiran.

Namun kini, menurut pihak yang menguruskan pemindahan jutawan ke sana, semakin ramai warga Barat turut menyertai arus tersebut .

Firma penasihat Henley & Partners menganggarkan UAE bakal menarik seramai 9,800 jutawan pada tahun ini, jumlah tertinggi di dunia.

Negara Teluk yang dikawal rapi itu berjaya menjadi ‘magnet’ untuk menarik golongan tersebut dengan menawarkan kestabilan ekonomi dan politik, kadar jenayah rendah, persekitaran perniagaan mesra serta akses kepada kemewahan yang sangat mudah.

Skim visa emas negara itu yang direka untuk memacu kehadiran golongan kaya atau tenaga mahir, membolehkan individu memperoleh permit kediaman selama 10 tahun.

Menurut Ketua Skybound Wealth Management, Mike Coady yang mengendalikan firma penasihat bagi individu berpendapatan tinggi, sebahagian pelanggannya merasakan kejayaan diperoleh menjadi liabiliti di negara asal mereka.

“Mereka dikenakan cukai lebih tinggi, diperhatikan dengan lebih teliti, tetapi ditawarkan peluang yang semakin sedikit. Namun di Dubai, kekayaan tidak disorokkan, malah menjadi kebiasaan.

“Di London, pelanggan saya berbisik mengenai jumlah kekayaan mereka. Di Dubai, mereka bebas menjalani kehidupan.

“Bagi pelanggan kami, UAE ibarat sarung tangan yang padan dengan sempurna,” katanya.

Sebagai destinasi utama golongan pempengaruh yang gemar bermegah-megah, Dubai kini sinonim dengan lambakan kemewahan luar biasa.

Kota itu menempatkan pusat beli-belah gergasi dengan kawasan ski dalaman, bangunan tertinggi di dunia, termasuk Palm iaitu kawasan pulau buatan yang dipenuhi hotel bertaraf lima bintang.

Namun, pembangunan pesat yang dianggap ‘taman permainan kelas atasan dunia’ ini turut menerima kritikan berhubung ketidaksamarataan ketara kerana tentera pekerja asing bergaji rendah menjadi tulang belakang ekonominya.

Tiada kerenah birokrasi

Coady berkata, pelanggan yang berpindah kebanyakannya ialah profesional berusia 30-an dan 40-an termasuk pengasas syarikat teknologi, pewaris generasi kedua perniagaan, perunding dan pengurus dana.

Antaranya ialah pengasas syarikat perisian awan berusia 42 tahun yang berpindah dari Britain ke UAE kerana bimbang dikenakan cukai keuntungan modal apabila syarikatnya dijual, sekali gus menjadikan negara itu kini pengeksport utama jutawan di Dubai.

Sebahagian lagi berpindah akibat dasar cukai yang lebih ketat bagi individu berstatus ‘non-dom’, mereka yang tinggal di Britain tetapi berstatus tetap di luar negara dan sebelum ini menikmati pengecualian cukai ke atas pendapatan luar negara.

Digabungkan dengan perubahan lain yang bakal dilaksanakan terhadap peraturan cukai dan pusaka, serta apa yang disebut Coady sebagai ‘retorik antikekayaan’ yang semakin meningkat, Britain dijangka kehilangan 16,500 jutawan pada tahun ini.

Tokoh paling berprofil tinggi yang meninggalkan Britain tahun ini, hartawan, John Fredriksen memberitahu media Norway, beliau berpindah ke UAE kerana Britain sudah seperti ‘neraka’ buatnya.

Bercakap dalam podcast Building Wealth With No Borders mengenai perpindahannya ke Dubai, Ketua Pegawai Eksekutif Paddco Real Estate, Max Maxwell berkata, semua individu mengejar gaya hidup, walau apa pun maknanya bagi setiap orang.

Beliau yang menggelar dirinya sebagai usahawan bersiri itu menjelaskan, selepas meninggalkan Amerika Syarikat (AS) untuk ke UAE, beliau menyedari keluarganya dapat menikmati gaya hidup yang lebih baik berbanding tempat asal mereka dengan jumlah wang yang sama.

Pegawai Henley & Partners di Dubai, Philippe Amarante berkata, golongan kaya berusaha mengekalkan kekayaan dan gaya hidup mereka serta keupayaan berniaga dengan hampir tiada kerenah birokrasi.

“UAE berjaya mengangkat mesej yang jelas dan mudah iaitu mereka terbuka untuk perniagaan,” katanya.

Boleh beli satu bangunan

Namun, kemasukan besar-besaran golongan kaya asing tidak terlepas daripada kontroversi.

Pihak berkuasa UAE terpaksa memperketatkan tindakan terhadap pengubahan wang haram selepas negara itu dimasukkan dalam senarai kelabu global pada 2022 kerana kebimbangan terhadap transaksi kewangan meragukan dan limpahan wang Russia.

Ia berlaku apabila ramai golongan kaya Russia berhijrah ke negara Teluk itu untuk mengelak sekatan berat di tanah air mereka selepas pencerobohan Ukraine.

UAE turut mengekstradisi beberapa individu dikehendaki, termasuk ketua besar sindiket dadah, sehingga berjaya dikeluarkan daripada senarai kelabu tersebut.

Ketua Penyelidikan Asia Barat Firma Perunding Hartanah Knight Frank, Faisal Durrani berkata, golongan kaya dari seluruh dunia kini membawa keluarga, perniagaan dan pejabat peribadi mereka ke Dubai.

“Ia menjadi trend baharu yang semakin berkembang.

“Mengatasi New York dan London jika digabungkan, sebanyak 435 kediaman bernilai lebih AS$10 juta (RM42.29 juta) dijual di Dubai tahun lalu, menjadikannya pasaran paling sibuk bagi hartanah mewah yang secara relatifnya lebih mampu milik di UAE berbanding di Barat.

“Pembeli dari tempat seperti Monaco dan Switzerland akan datang ke syarikat kami untuk mendapatkan apartment di Dubai yang bernilai AS$100 juta (RM422.98 juta), misalnya.

“Tetapi di Dubai, dengan harga itu, anda boleh beli seluruh bangunan,” katanya.

Menurut Henley & Partners, Dubai kini tersenarai dalam 20 bandar utama dunia dengan bilangan jutawan terbanyak, menjadi kediaman kepada 81,200 jutawan dan 20 bilionair. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN