Bekas wanita pertama Korea Selatan ditahan atas tuduhan rasuah

Bekas Wanita Pertama Korea Selatan ditahan atas tuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee ditahan selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berhubung dakwaan rasuah yang dinafikan beliau, kata pendakwa khas yang mengetuai siasatan berskala besar semalam.

Keon Hee kini menyertai suaminya, bekas Presiden, Yoon Suk Yeol yang sedang dipenjara sementara menunggu perbicaraan selepas digulingkan pada April lalu susulan cubaan gagal mengenakan undang-undang darurat pada Disember tahun lalu.

Terdahulu, Keon Hee yang berpakaian sut hitam tiba di mahkamah dengan tunduk memberi hormat namun enggan menjawab soalan wartawan dan setelah selesai prosiding.

Beliau dibawa ke pusat tahanan di Seoul sementara menunggu keputusan mahkamah, mengikut prosedur lazim.

Pendakwa khas yang dilantik pada Jun lalu memaklumkan secara ringkas mahkamah meluluskan permohonan waran tangkap tersebut tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Tuduhan yang dihadapinya boleh membawa hukuman penjara bertahun-tahun merangkumi penipuan saham, rasuah dan salah guna pengaruh yang turut mengaitkan ahli perniagaan, tokoh agama dan orang tengah politik.

Beliau didakwa melanggar undang-undang apabila memakai loket mewah jenama Van Cleef & Arpels bernilai lebih 60 juta won (RM 183 ribu) semasa menghadiri Sidang Kemuncak NATO bersama suaminya pada 2022, yang tidak diisytiharkan dalam laporan kewangan rasmi pasangan itu seperti diwajibkan undang-undang.

Selain itu, Keon Hee turut dituduh menerima dua beg tangan Chanel bernilai 20 juta won (RM 60 ribu) dan seutas rantai berlian daripada sebuah kumpulan agama sebagai rasuah bagi mempengaruhi keputusan yang menguntungkan kepentingan perniagaan kumpulan tersebut.

Jurucakap pasukan pendakwa khas, Oh Jeong Hee berkata, permohonan penahanan dibuat kerana wujud risiko beliau memusnahkan bukti atau mengganggu siasatan dan mahkamah menerima hujah tersebut.

Menurut Jeong Hee, Keon Hee mendakwa loket mewah yang dipakainya adalah tiruan dibeli 20 tahun lalu di Hong Kong namun, pihak pendakwa menegaskan ia adalah asli dan diberikan oleh sebuah syarikat pembinaan tempatan untuk dipakai pada sidang kemuncak tersebut.

Peguam Keon Hee tidak memberikan kenyataan baharu, namun sebelum ini menolak semua dakwaan terhadap anak guam mereka serta menyifatkan laporan media mengenai hadiah-hadiah berkenaan sebagai spekulasi tidak berasas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN