Banjir di Texas bawa penemuan jejak dinosaur berusia lebih 110 juta tahun - Utusan Malaysia

Banjir di Texas bawa penemuan jejak dinosaur berusia lebih 110 juta tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN: Banjir besar yang melanda Texas Hill Country awal Julai lalu dan meragut sekurang-kurangnya 135 nyawa turut membawa kepada penemuan bersejarah di Travis County apabila 15 tapak kaki dinosaur pemangsa ditemui di kawasan Sandy Creek.

Penemuan itu dibuat pada Isnin oleh seorang sukarelawan yang membantu membersihkan kawasan tersebut selepas bencana.

Menurut pakar, kesan tapak kaki tersebut dipercayai milik dinosaur pemakan daging seakan Acrocanthosaurus, spesies berkaki dua yang dianggarkan sepanjang 35 kaki.

Ahli paleontologi dari Muzium Sejarah Bumi Jackson School, Universiti Texas di Austin, Matthew Brown berkata, tapak kaki itu berusia sekitar 110 hingga 115 juta tahun dengan ukuran setiap satu antara 18 hingga 20 inci panjang.

“Kawasan Sandy Creek mengalir melalui formasi batu kapur Glen Rose yang berusia lebih 110 juta tahun. Tapak kaki ini kekal terpelihara dalam lapisan batu yang terbentuk pada zaman itu,” katanya.

Brown yang melawat lokasi pada Selasa memberi panduan kepada pihak berkuasa negeri dan daerah supaya kerja pembersihan tidak merosakkan tapak berkenaan, termasuk menetapkan sempadan keselamatan untuk mengelakkan jentera berat melaluinya.

Gambar yang dirakam penduduk tempatan, Carl Stover, menunjukkan kesan tapak kaki itu lebih besar berbanding kasutnya dan tertanam kukuh di permukaan batu putih.

Travis County terletak kira-kira 200 batu di selatan Dinosaur Valley State Park, sebuah kawasan terkenal dengan kesan tapak kaki dinosaur sauropod dan theropod berusia 113 juta tahun.

Matthew Brown berkata, pasukannya akan kembali untuk mendokumentasikan lokasi penemuan secara terperinci menggunakan peta dan imejan 3D bagi mengenal pasti sama ada ia hasil pergerakan sekumpulan dinosaur atau seekor sahaja yang berada di kawasan tersebut jutaan tahun lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN